Asrol Awang


Kuantan: Penggiat seni di negara ini dinasihati memanfaatkan bakat dimiliki dengan membuat kebaikan berbanding mengejar populariti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata dengan memberikan fokus kepada kebaikan, ia dapat mendidik masyarakat dengan mesej yang positif.

Katanya, penggiat seni tidak seharusnya hanya mahu mempopularkan dengan membuat program atau drama tidak elok yang bertentangan dengan agama dan nilai budaya masyarakat negara ini.

"Saya harapkan bahawa soal seni adalah benda yang tuhan beri, bukan semua orang pandai buat seni.

"Pada masa sama, kebanyakan pelakon cantik-cantik belaka dan ini pun anugerah tuhan, sebab itu kalau boleh mereka gunakan kepada yang boleh memberi manfaat kepada orang. Mesej yang mereka buat itu biar sampai untuk mendidik masyarakat.

"Kadang-kadang orang ini, dia hendak faham agama, akhlak dan moral melalui drama, animasi dan lain-lain kerana mereka tidak minat dengar ceramah yang panjang," katanya.

Idris berkata demikian pada sidang media sempena Multaqa Murabbi Ummah (MMU) peringkat Pahang di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata ketika diminta mengulas ada drama Melayu yang memaparkan unsur seksual dan kebaratan hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

"Buatlah program atau drama yang ada mesej. Gunakan kebijaksanaan dan kecantikan yang mereka ada dengan perkara boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat," katanya.

Mengenai Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pahang, Idris berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM61 juta kepada golongan Murabbi Ummah termasuk kos membaik pulih rumah dan masjid yang terkesan akibat musibah banjir tahun ini.

Katanya, peruntukan itu, masing-masing membabitkan peruntukan RM60.4 juta kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kafa.

"RM561,000 pula bagi membaik pulih 42 masjid dan 45 surau di 11 daerah di Pahang yang terkesan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 3:50 PM
DATUK Idris Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah) sempena Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
DATUK Idris Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah) sempena Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang