DATUK Idris Ahmad ketika menjawab soalan hadirin di Majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Idris Ahmad ketika menjawab soalan hadirin di Majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa memberi perhatian untuk membantu menaikkan elaun Murabbi Ummah, bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya memahami keadaan dihadapi golongan itu yang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.

Menurutnya, kali terakhir elaun dinaikkan adalah pada 2018 dan kerajaan sentiasa menghargai usaha-usaha yang disumbangkan mereka dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat.

Katanya, pada tahun ini seramai 1,000 guru takmir ditambah menjadikan jumlahnya seramai 5,000 tenaga pengajar membabitkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta.

"Setiap tahun kita usulkan kepada Kementerian Kewangan bagi menaikkan elaun Murabbi Ummah dan berharap ia dapat diberi perhatian dan diluluskan bagi memberi keselesaan hidup kepada golongan terbabit," katanya kepada pemberita di majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Wilayah Persekutuan 2022 di Auditorium Kompleks Islam Jakim di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Seramai 1,000 peserta Murabbi Ummah hadir pada program itu terdiri dari iman, guru takmir, guru KAFA, guru institut pondok dan tahfiz, penyelaras pentadbiran masjid daerah (PPMD), pegawai masjid dan penyelia KAFA.

Idris berkata, pihaknya juga bersedia menambah jumlah Murabbi Ummah di seluruh negara sekiranya ada keperluan dan permintaan di sesebuah kawasan.

Menurutnya, ia termasuk meluaskan keperluan guru takmir mengajar di agensi-agensi lain seperti di institusi penjara, warga emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Secara keseluruhan kerajaan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM20.5 juta kepada golongan Murabbi Ummah dan guru KAFA pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 4:40 PM