Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kemunculan pelbagai barisan peranti pintar yang semakin canggih daripada jenama besar antarabangsa membuatkan pengeluar telefon, Motorola tidak senang duduk.

Untuk tidak terus tenggelam dengan pesaing yang memberikan tamparan hebat, Motorola tampil dengan Moto Z dan Moto Z Play.

Meskipun daripada pandangan mata kasar Moto Z dan Moto Z Play kelihatan ada kekurangan berbanding peranti pintar lain, Motorola tampil agresif dengan menyuntik kelainan pada telefon pintarnya kali ini.

Buat kali pertamanya, Motorola memperkenalkan ciri baru pada bahagian belakang peranti ini iaitu Moto Mods, satu port sambungan teknologi terkini.

Moto Mods adalah port sambungan pintar yang direka untuk membolehkan sambungan dengan unit modular pelbagai fungsi bagi tujuan mempertingkatkan kebolehannnya.

Oleh itu, dalam usaha melipatgandakan keupayaan kamera, anda boleh menyambungkan Hasselblad True Zoom pada peranti anda melalui sambungan magnet 16 pin.

Langkah ini mampu memberikan pengalaman kamera yang hebat bersama 10x zoom optik. Mod ini direka untuk meletakkan siri Moto Z pada kelas ergonomik atas.

Selain didatangkan dengan Xenon Flash dan kawalan sentuhan, Hasselblad True Zoom turut berupaya merakam foto dalam format RAW.

Bagi memudahkan tugasan penggunanya, Motorola memberikan akses percuma kepada pengguna siri Moto Z dengan perisian suntingan Phocus Hasselblad.

Tidak cukup dengan pembaharuan hebat itu, Motorola pada masa sama memperkenalkan Moto Insta-Share Projector, untuk menawarkan pengalaman tontonan lebih menakjubkan kepada anda.

Memberikan gambaran skrin, foto dan video yang lebih besar, projektor ini boleh dipancarkan pada mana-mana bahagian seperti dinding dan boleh diperbesarkan sehingga saiz 70 inci dengan kontras 400:1.

Mod ini dilengkapi dengan pelarasan fokus auto dan ‘auto keystone’. Ia dikuasakan dengan bateri 1,100mAh dan juga boleh mengambil kuasa dari Moto Z.

Tayangan filem menggunakan projektor tidak menarik sekiranya audio kurang jelas. Jadi untuk menikmati tayangan seperti di pawagam, anda perlu meningkatkan audio hingga tahap maksimum.

Bagaimanapun, ia pastinya tidak mampu mengeluarkan bunyi seperti yang ditawarkan pembesar suara. Berbanding menyambungkan peranti anda bersama pembesar suara lain melalui sambungan Bluetooth, apa kata anda cuba menikmati audio yang dihasilkan oleh mod pembesar suara JBL SoundBoost.

Dengan sambungan kuasa magnet terbabit, anda boleh mendapat akses segera kepada audio berkuasa 6W. Lebih tepat, 80dB. Cukup kuat untuk diperdengarkan dalam suasana mahupun persekitaran yang bising.

Sekiranya anda takut kehabisan bateri, jangan risau kerana ia hadir dengan 1,000mAh bateri yang terbina didalamnya bagi memberikan kepuasan penghayatan muzik sehingga tempoh 10 jam.

Tetapi sekiranya peranti anda menunjukkan peratusan bateri yang begitu rendah, anda boleh memanfaatkann fungsi Incipio offGRID Pack Power, mod bateri tambahan seberat 79g yang dilengkapi dengan 2,200mAh hayat bateri.

Mengenai reka bentuk pula, Moto Z adalah peranti pintar premium ternipis di dunia dengan ketebalan 5.2mm. Ia hadir dengan pemprosesan Snapdragon 820, RAM sebesar 4GB, storan sehingga 64GB dan slot kad micro-SD sehingga 2TB. Berukuran 5.5 inci, peranti ini mempunyai paparan QHD dan dikuasakan oleh bateri hanya 2,600 mAh.

Sedikit berbeza, Moto Z Play mempunyai rangka badan aluminium dan rangka belakang yang elegan diperbuat daripada kaca.

Peranti dengan paparan Super AMOLED HD penuh itu dikuasakan oleh pemprosesan OCTA-core Qualcomm Snapdragon 652 bersama 3GB RAM dan ruang pnyimpanan 32GB.

Moto Z boleh didapatkan pada harga RM2,699 dan Moto Z Play pada harga runcit RM1,899. Manakala bagi Moto Mods pula, masing-masing dijual bermula RM499 sehingga RM1,399.

Bagi memberikan gaya yang lebih trendy kepada Moto Z dan Moto Z Play anda, anda boleh mengenakan kasing daripada pilihan Moto Style Shells.

INFO

MOTO Z & MOTO Z PLAY

• PENGELUAR: Motorola

• CIRI: Moto Mod

• PRO: Peranti yang nipis dan ringan

• KONTRA: Bateri tidak tahan lama

• LAMAN WEB:https: //www.moto.com/my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 11:21 AM