Pettikan video Rossiya24  menunjukkan kerosakan di pangkalan udara Shayrat di Russia.
Pettikan video Rossiya24 menunjukkan kerosakan di pangkalan udara Shayrat di Russia.
AFP

Moscow: Sembilan pesawat, simpanan peluru dan depoh minyak musnah dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat terhadap pangkalan udara Shayrat di Syria namun landasan pangkalan itu tidak terjejas.

Serpihan batu bertaburan di sekitar pangkalan, termasuk di atas landasan.
Serpihan batu bertaburan di sekitar pangkalan, termasuk di atas landasan.

Saluran Russian, Rossiya24 yang melaporkan dari tempat kejadian menyatakan, berdasarkan maklumat awal pihak berkuasa Syria, sembilan pesawat negara itu musnah.

Gudang peluru serta depoh minyak juga menjadi sasaran yang menyebabkan kebakaran dan menurut wakil Rossiya24, beberapa letupan masih berlaku.

“Namun tidak semua peralatan musnah, ada yang tidak terjejas akibat serangan itu.

“Landasan tidak terjejas dan masih boleh digunakan,” katanya.

Rakaman video saluran itu menunjukkan landasan tidak terkena serangan namun dipenuhi serpihan serta dua pesawat yang berada dalam ‘hangar’, kelihatan tidak terjejas teruk.

Setakat ini, tentera Syria menyatakan enam terbunuh akibat serangan itu, namun tidak menyatakan sama ada tentera atau orang awam yang terbunuh.

Namun, pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain yang memetik sumbernya di Syria nmenyatakan antara yang terbunuh ialah empat tentera Syria, termasuk seorang jeneral.

Menurut Rossiya24, Gabenor wilayah Homs menyatakan tujuh terbunuh iaitu lima tentera serta dua orang awam dan tujuh lagi cedera.

Ketika ini, pasukan bomba masih berusaha memadan kebakaran.

Amerika melancarkan 59 peluru berpandu dari kapal pembinasa USS Porter dan USS Ross di Lautan Mediterranean terhadap pangkalan udara itu kerana ia pangkalan pesawat yang melancarkan serangan senjata kimia di Idlib, Selasa lalu, menyebabkan 86 orang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 6:07 PM