AFP

Palm Beach (Amerika Syarikat): Presiden Donald Trump mengarahkan serangan udara terhadap Syria, hari ini sebagai tindak balas bagi serangan kimia di bandar Khan Sheikhoun, Selasa lalu.

Amerika Syarikat menyalahkan Presiden Syria, Bashar al-Assad bagi serangan kimia itu.

Jurucakap White House berkata, 59 peluru berpandu dilancarkan ke atas pangkalan udara Shayrat di Syria.

Amerika Syarikat percaya pangkalan itu adalah lokasi serangan kimia yang dilancarkan Selasa lalu.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari kapal USS Porter dan USS Ross di Lautan Mediterranean.

Jurucakap White House berkata, peluru berpandu itu menyasarkan pesawat dan landasan di pangkalan itu.

“Lokasi ini berkaitan program kimia rejim Syria dan dikaitkan secara langsung kepada serangan senjata kimia pada 4 April lalu,” katanya.

"Kami menilai dengan tahap keyakinan tinggi bahawa senjata kimia yang digunakan dalam serangan awal minggu ini dilancarkan dari lokasi ini menggunakan aset udara di bawah pimpinan rejim Assad.

"Penilaian kami turut mendapati rejim Assad menggunakan agen saraf kimia selaras dengan sarin dalam serangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 10:52 AM