BAHAN organik ditunjukkan kepada pelanggan terlebih dulu sebelum dikisar.
BAHAN organik ditunjukkan kepada pelanggan terlebih dulu sebelum dikisar.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Memiliki rambut yang sihat adalah dambaan setiap orang namun, dalam kehidupan seharian kita sering berdepan pelbagai masalah - salah satunya keguguran rambut.

Pada umumnya, keguguran rambut adalah masalah yang sering dialami terutama wanita yang baru melahirkan anak, tekanan berlebihan, selain kekurangan nutrisi penting untuk rambut seperti zat besi.

Malah, faktor keturunan, pendedahan terhadap radikal bebas dan ketidakseimbangan hormon juga antara penyumbang berlakunya keguguran rambut berlebihan.

Keguguran rambut biasanya diikuti dengan kemunculan kelemumur, rambut bercabang, kusam, kering dan masalah berkaitan yang lain.

Rambut gugur boleh berlaku kepada sesiapa saja sama ada lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun orang tua. Kecantikan bukan hanya dipandang dari wajah dan tubuh, malah rambut juga harus dititikberatkan setiap individu.

Mandian krim adalah antara solusi untuk menjaga kesihatan rambut. Banyak manfaat yang boleh didapati dengan melakukan mandian krim, salah satunya mampu membuatkan rambut lebih sihat dan terhindar dari kerosakan yang disebabkan oleh kurangnya nutrisi dan perawatan.

Penulis sendiri mengalami masalah keguguran rambut sejak melahirkan anak dan sehingga kini masih gagal mencari penyelesaian terhadap masalah itu ditambah kesibukan seharian, tiada rawatan khusus yang pernah dicuba untuk menanganinya.

Bagaimanapun, kesempatan membelai rambut dengan kaedah mandian krim di salun kecantikan Simran Beyond Beauty di Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini begitu mengujakan lebih-lebih lagi rawatan berkenaan menggunakan 100 peratus bahan organik.

Kali pertama melangkah ke salun itu disambut mesra oleh pemiliknya, Gurjit Kaur yang tidak lokek berkongsi petua rambut sihat menggunakan bahan semula jadi, malah aroma segar buah-buahan yang menjadi antara bahan untuk krim mandian krim rambut begitu menyenangkan sesiapa yang berada di salun itu.

Campuran bahan krim mandian rambut seperti minuman ‘smoothie’ berserta baunya yang enak, semuanya diadun sendiri oleh Gurjit bersama minyak pati herba buatannya untuk pelanggan yang menghadapi masalah seperti keguguran rambut.

Katanya, mandian krim rambut ditawarkan di salun itu menggunakan gaya ala Indonesia yang sememangnya terkenal dengan perawatan itu, tapi yang membezakannya adalah penggunaan minyak pati kelapa dara dan herba yang diadun bersama untuk meningkatkan keberkesanan rawatan.

“Saya guna herba buatan sendiri, yang ada antaranya saya dapatkan dari India. Penjagaan rambut cara orang India banyak menggunakan minyak, tetapi saya kurang gemar kerana rambut akan jadi terlalu berminyak, melekit dan sukar dicuci.

“Justeru, saya dapat idea menawarkan krim mandian rambut cara Indonesia menggunakan campuran yogurt, buah-buahan dan minyak pati herba buatan sendiri untuk membantu pelanggan yang ada masalah rambut gugur,” katanya.

Ramuan tujuh herba

Menurutnya, krim mandian rambut terdiri daripada ramuan tujuh herba dalam campuran yogurt, buah-buahan dan pati minyak yang menyediakan nutrisi untuk menguatkan folikel rambut.

Antara herba digunakan termasuk bunga ros India, amla, jintan hitam, daun neem, limau purut dan lemon yang dikeringkan serta dikisar menjadi serbuk.

Kesemua bahan itu mengandungi khasiat yang baik untuk rambut misalnya, bunga ros India memberi kesan sejuk, menyegarkan kulit kepala dan melembapkan rambut. Kandungan bunga ros India juga dikenali sebagai agen antikulat, antimikrob, antibakteria dan antioksidan yang memberi kelegaan pada kegatalan kulit kepala, mengurangkan keruping selain membantu pertumbuhan rambut.

Amla, iaitu sejenis herba dari India pula kaya dengan vitamin C untuk menguatkan rambut, jintan hitam pula kaya sumber besi untuk rambut manakala daun neem sebagai antiseptik untuk mencegah kulat.

Penggunaan limau purut juga diketahui berkesan untuk merawat kelemumur dan lemon kaya nutrisi dan mengandungi vitamin B yang penting bagi membantu penyerapan asid folik.

Katanya, buah-buahan seperti strawberi, avokado dan labu digunakan dalam campuran krim mandian supaya bau herba yang dicampur dapat dikurangkan.

Beliau sendiri mengalami masalah keguguran rambut teruk sebelum ini dan banyak menggunakan inai dan herba untuk mengatasi masalah itu, namun dia tidak menggemari bau bahan itu. Justeru campuran yogurt dan buah-buahan dapat mengurangkan bau di samping menambah nutrisi untuk rambut.

“Untuk pelanggan yang sensitif terhadap bau herba saya turut sarankan untuk menyembur minyak wangi pada berus rambut dan sikat rambut bagi mengurangkan bau herba.

“Apa saja rawatan yang saya tawarkan adalah asli kerana saya mahu memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa rawatan secara semula jadi boleh membantu pelbagai masalah rambut.

“Bagaimanapun, saya akan bertanya terlebih dulu jika pelanggan ada masalah kesihatan dan saya akan minta mereka dapatkan nasihat doktor pakar untuk mengetahui punca keguguran rambut yang dialami contohnya, kandungan zat besi yang rendah.

“Mungkin masalah itu disebabkan tidak cukup zat besi, walaupun bahan yang digunakan dalam rawatan mengandungi zat besi, tapi kita perlu meningkatkan keberkesanan melalui pemakanan tinggi nutrien itu,” katanya.

Mandian krim rambut antara lain dapat memberi kesegaran dan keaslian rambut kerana dalam perawatan ini akan diberikan beberapa nutrisi yang diperlukan rambut.

Rawatan ini juga dapat mengatasi rambut kering kerana fungsinya yang melembapkan. Urutan yang dilakukan semasa rawatan juga bermanfaat untuk melancarkan peredaran darah.

Selain itu dengan melakukan urutan, penyerapan nutrisi ke dalam kulit kepala lebih lancar dan membantu meningkatkan kesihatan kulit.

Gurjit berkata, mandian krim rambut biasanya mengambil masa 70 minit dimulai dengan cucian rambut diikuti sapuan ramuan mandian krim. Rambut kemudian diwap diikuti urutan bahu, belakang dan lengan selama 45 minit. Seterusnya rambut dibilas dan dikeringkan dengan lembut.

Sebelum rawatan dimulakan, Gurjit akan meneliti masalah rambut yang dihadapi pelanggan. Dari situlah, dia memilih bahan campuran organik bersesuaian mengikut masalah masing-masing dan rawatan dibantu dengan khidmat pendandan yang bukan saja mahir, malah berpengalaman dan pandai mengurut.

Dibuka setiap hari kecuali Selasa dari jam 11 pagi hingga 9 malam, pelanggan boleh datang terus atau membuat temu janji terlebih dulu. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat menerusi Facebook Simran Beyond Beauty.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 12:24 PM