PRODUK berasaskan bidara dihasilkan atas pengalaman sendiri.
PRODUK berasaskan bidara dihasilkan atas pengalaman sendiri.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Selama bertahun-tahun bekerja, tuntutan kerjaya pasangan suami isteri ini memerlukan kedua-duanya berkorban kerana tidak dapat menyambut hari raya bersama.

Ketika pasangan suami isteri lain dapat bersama menikmati kemeriahan Aidilfitri, Azura Ahmad, 33, dan suami pula akur dengan tuntutan kerja berjadual yang menyebabkan mereka terpaksa melupakan kemeriahan beraya.

Lebih menyedihkan, beberapa kali Aidilfitri mereka terpaksa menghantar anak-anak beraya di rumah pengasuh dan anak kecil itu menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran ibu bapa di sisi.

“Siapa yang tidak sedih apabila hari raya yang sepatutnya masa berkumpul bersama terpaksa dilupakan demi kerja. Entah bagaimana kami dapat kekuatan untuk berhenti kerja dan berniaga kecil-kecilan.

“Macam-macam kami buat, daripada berniaga produk orang lain di pasar tani dan but kereta hingga menjual ayam goreng di gerai tepi jalan. Sikit demi sedikit kami menyimpan dan akhirnya dapat membeli trak makanan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dugaan mula menimpa mereka apabila suaminya jatuh sakit dan tidak dapat berjalan secara tiba-tiba.

Pusat rawatan dikunjungi, tapi punca penyakit gagal diketahui dan akhirnya dirujuk ke pusat perubatan Islam untuk rawatan alternatif.

Ketika dirawat, daun bidara antara herba yang digunakan untuk mandian dan dengan izin Allah suami beransur sembuh.

“Daun bidara diketahui mempunyai pelbagai manfaat dan digunakan perawat Islam untuk mengubat gangguan. Meskipun terpaksa berdepan ujian, hikmah Allah itu lebih besar.

“Bermula dari situ, kami amalkan mandian herba itu dan tercetus idea untuk hasilkan mandian ini untuk memudahkan orang lain kerana agak sukar mendapatkannya.

“Daun bidara banyak kegunaan, sebab itu saya menjadikan daun ini sebagai asas utama produk mandian, Kasturi Bidara Aufa Dyura,” katanya.

Menurutnya, ketika awal pengeluaran produk itu, mereka mulakan tanpa ilmu dan hanya menjalankan operasi di rumah sebelum mula memasarkan secara komersial.

Katanya, apabila permintaan semakin meningkat, mereka menyewa premis untuk meningkatkan pengeluaran. Bermula dengan dua kakitangan, mereka kini mempunyai 13 kakitangan di samping ejen dan stokis di seluruh negara.

“Awalnya, kami bermula dengan produk orang dulu, lepas terjatuh dalam perniagaan baru kami sedar ilmu itu penting dan saya bersama suami mencari ilmu pemasaran dalam dan gunakan pengetahuan itu.

“Kenangan ketika bekerja makan gaji dulu adalah penguat semangat kami untuk terus cekal dalam perniagaan. Hakikatnya, dengan berniaga baru kami dapat bersama dan banyak masa dapat diluangkan dengan keluarga.

“Bagi saya Allah adalah sebaik-baik perancang, Dia yang dorong saya untuk terus berniaga agar dapat bersama anak-anak. Apabila kami mula berniaga tiga tahun lalu baru saya dapat merasa kehidupan berkeluarga sebenar. Sekarang ini, kami boleh tentukan masa sendiri untuk membuat apa saja yang dulu tidak dapat kami lakukan bersama,” katanya.

Menurut Azura, suaminya adalah segala-galanya kerana lelaki itu sentiasa ada saat susah dan senang dan menjadi pendorong ketika melalui kesukaran dan kesedihan.

Katanya, mereka pernah jatuh ketika berniaga produk orang lain hingga dirinya hampir berputus asa, tapi suami meyakinkan bahawa berhenti kerja adalah pilihan terbaik yang Allah tetapkan. Mereka meneruskan penghasilan produk berasaskan bidara atas pengalaman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 10:41 AM