Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Pemain Perak diharap mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika bertemu Sime Darby untuk mengelak menjadi mangsa kebangkitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

Jurulatih Perak Datuk M Karathu berkata, pasukan tuan rumah pasti tampil bak harimau luka berikutan kekalahan di tangan Kelantan, Sabtu lalu.

“Pemain Perak perlu berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan ini.

“Selepas tumpas perlawanan pertama, ATM sudah tentu akan berusaha bangkit untuk menebus hampa tumpas kepada Kelantan pada perlawanan pertama,” katanya.

Berikutan itu Karathu berkata, Perak perlu tampil dengan perwatakan mantap serta strategi ampuh untuk menangani aksi yang pasti sengit dan mencabar.

Bagi menghadapi anak buah B Satianathan, Karathu dijangka menurunkan kesebelasan permulaan sama dalam usaha mencatat keputusan memberangsangkan pada aksi kedua.

Beliau berharap Charles Souza Chad dan Namkung Wong mampu memainkan peranan lebih bermakna mengemudi pasukan kerana setakat ini mereka masih belum menunjukkan kemampuan sebenar.

“Setakat ini hanya Thiago (Thiago Junior Aquino) yang sudah membuktikan pelaburan terhadapnya memang berbaloi manakala Chad dan Namkung perlu bekerja lebih keras,” katanya.

Jurulatih itu menegaskan, Perak tidak dapat menurunkan pemain yang masih cedera seperti Marco Tulio, Bobby Gonzales serta Azmizi Azmi.

“Mereka belum pulih sepenuhnya. Mungkin tidak akan diturunkan buat sementara waktu kecuali selepas saya dapat menguji tahap kecergasan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 7:49 AM