PERAK (jersi kuning) ada ramuan sekat penyerang Penyu, Paulo Rangel (dua dari kiri).
PERAK (jersi kuning) ada ramuan sekat penyerang Penyu, Paulo Rangel (dua dari kiri).
Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Pemain Perak diharap menggunakan pengalaman pertemuan pertama dengan Terengganu dalam Piala FA Selasa lalu, apabila bertemu semula lawan sama dalam saingan Liga Super pula di Ipoh, malam esok.

“Saya harap mereka tahu kemampuan lawan dan sedar apa yang perlu dilakukan,” kata jurulatih The Bos Gaurus (TBG) Datuk M Karathu.

Karathu mengakui kemampuan lawan memiliki barisan berpengalaman berbanding anak buahnya yang terdiri daripada pemain muda.

“Terengganu pasukan yang bagus. Mereka memiliki pemain hebat terutama awang import.

“Saya harap pemain menumpukan penuh perhatian terhadap perlawanan,” katanya.

Jurulatih itu juga mahu anak buahnya menggunakan kelebihan sedia ada kerana bermain di gelanggang sendiri.

Berbanding pertemuan dalam Piala FA itu, Karathu menjangkakan mendapat semula khidmat kapten Mohd Nasir Basharuddin dan pemain tengah Mohd Nurridzuan Abu Hassan.

“Dua pemain itu sudah berlatih semula dan saya harap mereka cukup cergas untuk diturunkan Sabtu ini,” katanya.

Kedua-dua pemain terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan sebelum ini berikutan mengalami kecederaan hingga memaksa jurulatih Datuk M Karathu merombak barisan.

“Saya harap mereka akan dapat beraksi Sabtu ini selepas lama berehat. Ketiadaan mereka memang dirasai,” kata Karathu.

Menurut Karathu dia meletakkan pemain muda seperti Muhammad Ridzuan Azly Hussham, Mohamad Hafiz Ramdan dan Mohd Fikri Sudin di bahagian tengah dalam usaha memantapkan jentera di bahagian itu.

“Kelincahan pemain ini berjaya mengkucar-kacirkan benteng lawan. Namun malangnya mereka sentiasa menjadi mangsa terjahan keras pemain lawan hingga mengalami kecederaan.

“Saya tidak pasti sama ada mereka boleh beraksi atau tidak Sabtu ini,” katanya.

Begitupun dengan kehadiran semula Nasir dan Nurridzuan, Karathu akan dapat menggandingkan semula kedua-dua pemain itu dengan Mohd Shukri Hamid.

Jurulatih itu juga berharap dapat menurunkan pemain import baru, Horace James kerana menjangkakan menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain dari Jamaica itu dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:04 AM