MESIN penggiling teh.
MESIN penggiling teh.
KILANG teh.
KILANG teh.
DAUN teh untuk proses pelayuan.
DAUN teh untuk proses pelayuan.
TEH diletakkan dalam tray untuk proses pengeringan.
TEH diletakkan dalam tray untuk proses pengeringan.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Menu ditampilkan agak ringkas iaitu minuman teh bersama skon (biskut gandum).

Namun, hidangan petang 'ala Inggeris' itu cukup enak dan menyelerakan apatah lagi lokasinya di pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang.

Tradisi minum teh pertama kali dilakukan oleh Ana Maria The Dutches dari Badford.

Akibat waktu yang panjang, Puteri Ana meminta pelayannya menyajikan teh dan hidangan kecil (ring­kas).

Tradisi minum tehnya sangat popular dan menjadi satu tradisi bagi masyarakat Inggeris.

Namun, hanya orang tertentu terutama golongan bangsawan dapat menikmati tradisi 'afternoon tea' itu.

Bagi penulis tidak lengkap ke Cameron Highlands, Pahang, jika terlepas peluang menyaksikan panorama indah di ladang teh menghijau.

Selain strawberi dan lebah, ladang teh menjadi tarikan utama pelancong.

Buktinya, industri peninggalan kolonial itu terus berkembang dengan pelbagai produk teh dan perisa seperti strawberi, lemon, oren dan anggur.

Mungkin ramai tidak tahu di sebalik produk itu terba­ngunnya ladang teh peninggalan Inggeris.

Ladang teh pertama di tanah tinggi itu masih kekal sehingga kini.

Biarpun sudah mencecah 80 tahun, kewujudan ladang teh masih boleh dilihat di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands (TATMCH) di Tanah Rata.

Pembantu Penyelidik Kanan, MARDI, Mohd Noor Bahauddin berkata sejarah kedatangan teh ke pusat pelancongan itu berlaku sekitar 1925 apabila British menubuhkan Stesen Penyelidikan Persekutuan (FES).

"Setahun kemudian, ladang teh pertama diba­ngunkan di stesen itu sehingga akhirnya terbinanya kilang teh pertama pada 1935.

"Dengan dana daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kilang itu diperbaharui pada 2011," kata­nya.

Kini ia menjadi antara produk pelancongan yang wajib dilawati di TATMCH, Tanah Rata.

Malah penulis sendiri berpeluang melihat industri peninggalan penjajah itu sempena lawatan ke kilang teh dan demonstrasi membuat teh keluaran MARDI, baru-baru ini.

Mohd Noor berkata, terdapat pelbagai jenis teh seperti teh hitam, teh hijau dan 'oolong' (teh tradisional negara China).

Menurutnya, kilang teh MARDI Cameron Highlands hanya memproses teh hitam untuk pasaran tempatan.

"Untuk memproses teh, daun teh dipetik di bahagian hujung yang mengandungi kira-kira tiga ke empat helaian daun.

"Ia kemudian memasuki proses pelayuan dengan mengambil masa antara 12 hingga 20 jam (semalaman)," katanya.

Proses pelayuan daun akan lebih cepat jika tidak terdedah kepada air hujan.

"Daun yang terbaik apabila ia 50 peratus kering dan apabila diramas tidak rasa air.

"Biasanya berat daun akan menyusut hampir separuh sebaik dilayukan," katanya.

Katanya daun yang sudah kering akan melalui proses penghancuran.

Ditanya mengenai pemilihan daun berkualiti kata­nya, pucuk yang mempunyai empat daun pertama dipilih.

"Daun perlu dipetik dalam kategori 30 hari selepas tuaian pertama, jika lebih tempoh itu, daun teh sudah tua," katanya.

Bahagian pucuk teh adalah paling berkualiti kerana mengandungi tanin (kimia tumbuhan).

"Tanin adalah kelompok zat utama dalam teh ekstrak dan baik untuk kesihatan.

"Ia menentukan sifat produk teh seperti rasa, warna dan aroma selain mengandungi bahan antioksidan," katanya.

Proses kedua katanya, daun teh digiling untuk tempoh 45 minit sehingga warna berubah dari hijau ke perang.

"Tujuannya untuk proses oksidasi dan alat peng­giling tembaga digunakan dapat memproses 300 kilogram bagi setiap kali proses," katanya.

Kilang teh yang beroperasi sebulan sekali itu katanya menjadi pusat sehenti bagi pembelajaran.

"Pelancong boleh melawat ladang dan kilang dalam satu masa," katanya.

Penggunaan alat rotorvane bagi menjadikan proses penghancuran teh lebih intensif sekali gus menghasil­kan ukuran partikel kecil (halus).

Teh kemudian diayak menggunakan mesin 'Rotary Roll Breake' dengan tiga kali proses.

Seterusnya ia melalui proses pengasingan dan diletakkan ke dalam loyang pada suhu bilik bagi pemeraman.

"Ia adalah proses paling penting dalam penyediaan teh sehingga ia bertukar warna dari hijau ke perangan.

"Paling penting di situ bangkit aroma, rasa dan warna teh," kata­nya proses terakhir adalah pengeringan di dalam ketukar selama 20 minit untuk mengurangkan kadar kelembapan pada suhu 100 darjah Celsius.

Berkongsi kepakaran katanya, penentuan teh asli atau sebaliknya boleh diuji berdasarkan gelas minuman.

"Jika warna teh melekat di gelas ia me­ngandungi bahan kimia, malah penyakit angin ahmar bukan berpunca daripada teh sebaliknya berkaitan susu dan gula," katanya.

MARDI katanya me­ngeluarkan teh berjenama NUTRIMA yang dijual dalam bentuk uncang dan boleh dibeli di pusat jualan di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands di Tanah Rata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:04 AM