Oleh Mohd Sabran Md Sani

Projek ladang contoh bagi pengeluaran serai wangi diusahakan Baharuddin Mohd Yusof nyata memberi banyak manfaat.

Ladang diusahakan sejak 2012 itu bukan saja menghijau, malah sudah mengeluarkan hasil.

Berkeluasan empat hektar, projek terletak di Stesen MARDI Kuala Linggi, Melaka itu sudah melalui tiga kali tuaian.

Serai wangi jenis Sri Lanka atau nama saintifiknya Cymbopogon nardus paling sesuai untuk penghasilan minyak pati bagi produk penjagaan badan.

Sebagai inkubato MARDI, pemilik syarikat Excellent Wisdom Sdn Bhd ini terbabit dari proses penanaman serai wangi hingga pengeluaran produk.

Peluang itu diperoleh bekas Pegawai Kerajaan Seri Negeri yang juga Pengarah Pusat Sumber Jabatan Ketua Menteri Melaka, ketika persaraannya.

Menerusi sokongan MARDI Melaka, Baharuddin yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Bahagian pembangunan dan penyelidikan (R&D) Universiti Malaya diberi peluang menguruskan ladang contoh serai wangi.

Syarikat itu maju setapak lagi dengan pengeluaran produk terbaru baja kompos hasil buangan serai wangi.

Produk terbaru itu dapat menyelesaikan masalah sisa buangan dan dijangka dapat dipasarkan kepada pengguna awal tahun depan.

Baharuddin berkata, projek ladang contoh dilaksanakan itu mengeluarkan 30 tan sehektar daun serai bagi setiap musim.

"Setiap tuaian pula mengambil masa kira-kira setengah bulan untuk diproses," katanya.

Katanya, kapasiti kilang yang terhad membataskan proses pengeluaran minyak pati.

"Hanya dua tan daun serai dapat diproses setiap hari dengan kapasiti maksimum kira-kira tiga tan.

"Proses pengeluarannya perlu berterusan bagi membolehkan produk lain meng­gunakan teknologi sama," katanya.

Setiap setan pengeluaran katanya menghasilkan 4.5 hingga 6 liter minyak pati.

Persaingan minyak serai luar negara terutama dari India, Indonesia dan China (dalam bentuk serbuk) menjadi cabaran kepada syarikat.

Justeru katanya, syarikat mengambil langkah me­ngeluarkan produk hiliran seperti semburan serangga, sabun buku dan gel mandian.

"Selain itu, kami juga melaksanakan pengilangan kontrak untuk mengeluarkan minyak badan dan losyen badan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, pengeluaran produk hiliran itu penting bagi mengelak persaingan minyak pati serai dari luar negara.

Ditanya berkenaan sektor perladangan disertai, Baharuddin mengakui dirinya tertarik untuk terbabit dalam projek berkenaan.

"Sebagai anak kampung hasrat untuk berladang memang sudah ada.

"Pilihan terbaik adalah menanam serai di tanah kosong milik agensi berkenaan," katanya.

Perancangan masa depan, syarikat berkenaan bercadang memperluaskan pengeluaran minyak serai.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) juga katanya ba­nyak membantu dalam melaksanakan projek ladang serai.

"Saya dapat geran berjumlah RM195,000 untuk menyediakan bengkel produk hiliran (baja kompos) dan penyediaan tempat sedang diaturkan MARDI.

"MARDI juga menyediakan bantuan teknikal, selain membantu dari pe­nyediaan infrastruktur seperti tali air," katanya yang menggunakan modal sendiri berjumlah RM80,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:00 AM