PELBAGAI landskap menarik untuk dinikmati pengunjung.
PELBAGAI landskap menarik untuk dinikmati pengunjung.
Hafiz Ithnin


JIKA keadaan dalam negara sudah membenarkan kita melancong atau beriadah dalam norma baharu, apa kata anda letakkan Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands yang berada di Tanah Rata, Pahang sebagai salah satu destinasi percutian.

Sebelum penularan pandemik Covid-19, penulis sempat mengunjungi destinasi itu untuk bercuti bagi menikmati panorama dingin di dalam negara.

Menariknya mengenai destinasi itu ialah ia mempunyai pusat pelancongan yang mencakupi kemudahan untuk bermalam, beriadah dan juga memberi pendidikan kepada pengunjung mengenai teknologi tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) terutama yang tumbuh di kawasan tinggi.

Sebaik sahaja tiba pekan Tanah Rata, tidak sukar untuk mencari pusat percutian itu kerana ia mempunyai papan tanda yang cukup jelas untuk ke sana.

Di hadapannya, sebelum penulis melangkah masuk kelihatan landskap bunga dan menara jam yang begitu cantik seakan-akan menyambut kehadiran penulis.

Kebetulan ketika berada di sana, penulis juga berkesempatan bertemu dengan Ketua Stesen Mardi Cameron Highlands, Azlan Azizi Muhamad Nor yang begitu peramah bercerita mengenai lokasi berkenaan.

Azlan berkata, lokasi berkenaan mempunyai ladang teh pertama di Malaysia sejak 1927 dan kilang teh tertua di Malaysia yang masih beroperasi sejak 1935.

KILANG teh tertua di Malaysia menjadi sejarah kepada negara.
KILANG teh tertua di Malaysia menjadi sejarah kepada negara.

Katanya, lokasi itu berkeluasan 11.27 hektar dan ladang teh berkenaan berkeluasan sekitar 1.2 hektar yang masih tumbuh sehingga ke hari ini.

"Jika pengunjung datang ke sini, mereka dapat melihat secara dekat mesin memproses teh yang pertama di Malaysia yang masih boleh digunakan sehingga ke hari ini.

"Selain itu, mereka juga dapat melihat sendiri ladang teh pertama negara yang masih tumbuh dengan segar. Jadi, kita dapat mengetahui sejarah teh di Malaysia jika berkunjung ke sini," katanya.

Selain itu, Azlan berkata, pengunjung juga dapat melihat secara dekat tumbuh-tumbuhan sinonim dengan kawasan dingin atau tanah tinggi yang ditanam Mardi.

KILANG teh tertua di Malaysia menjadi sejarah kepada negara.
KILANG teh tertua di Malaysia menjadi sejarah kepada negara.

"Di sini, kita mempunyai plot tanaman anggur, strawberi, epal dan sayur-sayuran yang boleh dibeli dengan memetik sendiri hasil tanaman berkenaan.

"Tambahan, bagi mereka yang membawa anak-anak kecil juga agak menarik jika ke sini kerana mereka dapat melihat aktiviti pihak Mardi menjaga dan tanam tumbuh-tumbuhan ini," katanya.

Pihak Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands mengenakan bayaran RM6.50 untuk dewasa, kanak-kanak RM3.20 dan golongan kurang upaya (OKU) percuma.

Sebenarnya Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands juga begitu terkenal dengan kemudahan penginapan yang disediakannya.

PANORAMA menarik menyambut kehadiran pengunjung.
PANORAMA menarik menyambut kehadiran pengunjung.

Ia kerana pertamanya, lokasinya yang begitu strategik untuk pengunjung yang ingin bersantai di kawasan komersial di Tanah Rata yang mempunyai pelbagai aktiviti jual beli setiap hari.

Selain itu, Azlan menjelaskan di destinasi itu terdapat tiga kotej Inggeris yang asli.

Melangkah masuk ke dalam kotej itu ternyata membuatkan penulis tidak sabar untuk menginap di situ kerana dekorasi ala British diketengahkan.

Tidak sekadar itu, ia juga agak luas sesuai untuk mereka yang datang bersama keluarga. Pada hemat penulis dengan tiga bilik di dalamnya, diisi dengan 10 orang masih tidak terasa padat kerana ia begitu luas.

MESIN memproses teh pertama di Malaysia boleh dilihat secara dekat.
MESIN memproses teh pertama di Malaysia boleh dilihat secara dekat.

Malah terdapat juga segmen penginapan yang lain seperti apartmen dan kediaman teres untuk disewa pengunjung.

Azlan berkata, bagi mereka yang datang dengan bas, boleh menikmati bayaran masuk dengan harga lebih berpatutan iaitu hanya RM150 untuk satu bas.

"Di sini, terdapat pelbagai aktiviti kekeluargaan yang boleh dilakukan selain menikmati panorama Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands yang begitu terkenal dengan kecantikan dan pendidikannya kepada pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 7:00 AM