PEMANDANGAN Taman Agroteknologi MARDI yang mengujakan.
PEMANDANGAN Taman Agroteknologi MARDI yang mengujakan.
RUMAH ala Inggeris dibina era pemerintahan British.
RUMAH ala Inggeris dibina era pemerintahan British.
PENGUNJUNG memegang buah epal.
PENGUNJUNG memegang buah epal.
KEPELBAGAIAN bunga-bungaan tumbuh subur di Taman Agroteknologi MARDI.
KEPELBAGAIAN bunga-bungaan tumbuh subur di Taman Agroteknologi MARDI.
BUAH anggur yang sudah tua.
BUAH anggur yang sudah tua.
Oleh Suliati Asri


Kabus tebal pada waktu pagi dengan suhu 12 darjah Celsius cukup menyamankan. Panoramanya indah dengan ribuan bunga-bungaan segar berwarna-warni mekar berkembang.

Pokok epal, anggur dan strawberi pula tumbuh subur dan berbuah lebat bagaikan meminta untuk dipetik.

Jangan salah sangka. Suasana ini bukan di luar negara tetapi di Cameron Highlands. Lebih tepat lagi, Taman Agroteknologi MARDI.

Percutian hujung minggu penulis yang tidak dirancang bersama rakan-rakan ternyata berbaloi sebaik tiba ke sini.

Mulanya, tatkala diberitahu Taman Agroteknologi MARDI antara tempat yang bakal dilawati kami ketika berkunjung ke Cameron Hioghlands, hati bagaikan tidak gembira.

“Apa yang ada di situ? Takkan tempat penyelidikan pertanian dan sayur-sayuran pun nak dilawati?” detik hati kecil penulis.

Namun, terlihat sahaja keindahan landskap dengan pelbagai tumbuhan yang hidup subur sebaik melalui pintu masuk taman berkenaan, hati bagaikan berbunga riang.

Mana tidaknya, pokok bunga ros yang wangi dan kembang mekar, keunikan orkid liar dan buah epal serta anggur masih bergayut di ranting tentunya mencetuskan pengalaman mengujakan.

Rumah Inggeris yang mengekalkan keunikan seni binanya menguatkan lagi angan-angan kononnya kami sedang bercuti di luar negara.

Terletak berdekatan pekan Tanah Rata, taman ini yang juga pusat perhentian setempat untuk pelancong tanah tinggi Cameron Highlands mula ditubuhkan sebagai Federal Experimental Station pada tahun 1925 oleh kerajaan British sebelum diberi nama Taman Agroteknologi MARDI oleh Sultan Pahang pada 14 Jun 2003.

Berada pada ketinggian 1,400 meter dari aras laut, taman ini bukan sekadar Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pertanian MARDI yang bertemakan ‘Pusat Pertanian Lestari Tanah Tinggi’.

Berteraskan agropelancongan, konsep pemba­ngunan taman ini untuk menyedia dan mengekalkan suasana indah dan menarik, kemudahan rekreasi, wadah pembangunan, penggunaan dan pemindahan teknologi serta menyediakan tempat pembelajaran.

Taman ini memberi peluang kepada pelawat mempelajari pelbagai aktiviti pertanian tanah tinggi daripada penanaman hingga pemprosesan produk.

Pada masa sama, pelawat dapat menikmati keindahan tamannya dan menghargai peninggalan sejarah.

Beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan hanya ditutup pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji, bayaran masuk cuma RM3 untuk melawat 28 tempat menarik di sini.

Dari kaunter masuk, tersergam Rumah Inggeris berkembar dua tingkat yang dibina pada era British sekitar 1925 sebelum dinaik taraf pada 2003. Ia disewakan kepada pelawat yang ingin merasai pengalaman menginap di situ.

Taman Inggeris menghimpunkan pelbagai tanaman dan bunga temperat yang menghiasi arena depan. Pergola yang dilengkapi jambatan merentasi kolam yang dipenuhi pelbagai jenis ikan. Air pancut menambah seri taman ini.

Ladang strawberi jenis macaroga, macarosa dan chandle yang ditanam secara fertigasi di dalam media ‘cocopeat’ dalam beg plastik menjadi tumpuan pengunjung.

Maklumlah, Cameron Highlands memangnya terkenal dengan buah ini.

Taman herba temperat seperti rosemary, oregano, catnip, pudina dan basil yang ditanam mengelilingi pancuran air menambah seri taman ini. Menariknya, pengunjung dapat mengetahui kegunaan puluhan jenis herba ini melalui papan keterangan yang disediakan.

Bagi yang meminati orkid, kunjungan ke Taman Orkid Liar pasti mengujakan kerana ia dipenuhi pelbagai jenis tanaman itu.

Taman Ros pula bukan saja dipenuhi bunga segar, malah landskapnya indah di bawah struktur perlindungan hujan.

Menariknya, taman ini terletak bersebelahan anak sungai dan dihubungi tiga jambatan. Terdapat perbagai warna, saiz dan haruman bunga ros boleh dinikmati di sini.

Struktur pergola digunakan bagi menempatkan bunga ros yang memanjat dan pancutan air menyerikan lagi keindahan taman ini.

Selain ros, bunga kekwa, carnation, gladiolus dan lili juga dapat dilihat di taman ini.

Mahu membeli pelbagai produk hasil penyelidikan MARDI? Pusat jualan di taman ini memudahkan anda. Pelbagai barangan boleh dibeli, antaranya sayuran segar, jem, jus dan barangan kraftangan. Tanaman berpasu dan bunga keratan juga dijual.

Berhampiran pusat jualan, pengunjung boleh membeli pelbagai jenis benih pokok hiasan, buah-buahan dan bunga. Buah segar dan hasil produk strawberi boleh dibeli di ladang berhampiran manakala Rumah Orkid yang menempatkan pelbagai jenis orkid komersial dipamerkan untuk jualan.

Berjalan ke bahagian belakang, Petak Salad yang mempamerkan pelbagai jenis dan warna ulaman itu cukup mengujakan. Terbayang kerangupan salad segar itu saat dimakan.

Berbuah dua kali setahun iaitu pada Februari dan Julai, Petak Anggur yang ditanam pelbagai jenis buah itu dari beberapa negara cukup mengagumkan.

Bagi kebanyakan jenis anggur, pada mulanya buahnya berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada merah hitam apabila masak.

Satu lagi yang membuatkan pengunjung teruja saat menjelajah taman ini ialah pokok epal.

Pokok epal di sini mula ditanam pada tahun 70-an daripada pelbagai varieti antaranya Anna, Rome Beauty dan Granny Smith.

Berkeluasan tujuh ekar, ladang teh dengan benih pokok berasal dari India di taman ini sudah menjangkau usia 70 tahun.

Ladang dan kilang teh di taman ini tertua di Malaysia. Pokok teh tertua ini ditanam pada tahun 1926 dan kilang teh pula beroperasi dari 1935 hingga 1996. Selepas itu operasinya terhenti dan kini sedang dipulihkan dan dijangka beroperasi semula pada 2020.

Terletak di bahagian paling tinggi di ladang teh, Wakaf Padang lokasi pengunjung berehat dan menikmati pemandangan Taman Agroteknologi MARDI. Tanaman temperat seperti laici dan pisang kaki boleh dilihat saat mendaki ke wakaf ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 10:54 AM