Oleh Mohd Sabran Md Sani

Mohamed Idris Abu Bakar tidak pernah termimpi menjadi usahawan malah formulasi otak-otak Gelang Patah diperoleh ketika men­yertai kursus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Terengganu, pada tahun 1992.

Dia bertuah kerana mendapat resipi otak-otak Gelang Patah daripada rakan sebiliknya.

Kesungguhan untuk berjaya akhirnya berbayar dengan tertubuhnya Syarikat Serantau Desa Enterprise.

Beliau yang juga pe­ngarah syarikat itu berkata, otak-otak daun menjadi produk pertama syarikatnya.

"Perniagaan ini diasaskan pada 1989 di rumah kedai sebelum berpindah ke Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka," kata­nya.

Selain MARDI, Mohamed Idris turut mendapat bantuan Jabatan Perikanan.

"MARDI membantu aspek teknikal termasuk kursus pemprosesan makanan," katanya.

Mengulas lanjut me­ngenai resipi otak-otak katanya kursus yang disertai pada 1992 membuka pintu rezeki sehing­ga terhasil produk otak-otak daun dan gulung.

"Bau dan rasa membezakan otak-otak Gelang Patah, Johor.

"Kini, kami menghasilkan beberapa produk lain seperti karipap otak-otak, pau otak-otak dan nuget.

"Kami juga mengeluarkan satar yang dipelajari di Terengganu," katanya yang mendapat bantuan geran pemadanan daripada Pem­bangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) lebih RM100,000.

Syarikat itu mengeluarkan kira-kira 8,000 otak-otak daun dan gulung sehari. Ia dipasarkan secara borong kepada orang ramai di seluruh negara.

Anak jati Ketereh, Kelantan itu, dibantu isterinya, Hasnah Daud yang menjadi tulang belakang kejayaan syarikat.

"Isteri dan anak ba­nyak membantu termasuk proses penghasilan otak-otak," katanya.

Dia menggunakan ikan berdaging putih seperti selayang, parang dan kerisi untuk menghasilkan otak-otak berkualiti.

Proses pertama pembuatan otak-otak kata­nya, isi ikan perlu direndam bersama air batu untuk tempoh lima minit bagi menyejukkan ikan.

"Seterusnya garam dan pewarna yang dibenarkan dimasukkan ke dalam adunan, selain rempah ratus, tepung dan gula.

"Proses mencampurkan ais ke dalam produk bagi mengawal suhu, menjaga kualiti dan menghalang pembiakan kuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:00 AM