RIJAH (dua dari kanan) dengan kuih panyaram yang dijualnya.
RIJAH (dua dari kanan) dengan kuih panyaram yang dijualnya.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Menggerakkan inisiatif '5by20', syarikat gergasi The Coca-Cola Company (TCCC) berazam memperkasakan lima juta usahawan wanita di seluruh dunia menjelang 2020 melalui penyediaan peluang kewangan dan latihan kemahiran.

Inisiatif itu bermula pada Ogos lalu di Beaufort, Sabah dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Di bawah inisiatif itu, program perintis Sertai Usahawan Realisasikan Impian (SURI) dijalankan membabitkan 132 wanita dari daerah berkenaan yang diberikan latihan kemahiran asas untuk menjayakan transformasi mereka kepada usahawan berjaya.

Kumpulan pertama itu berjaya menamatkan program latihan selama 48 jam dalam tempoh 12 minggu dan menerima sijil daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun pada bulan lalu.

Pengurus Besar Coca-Cola Singapura, Malaysia dan Brunei Gill McLaren berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama untuk membangunkan keupayaan wanita iaitu latihan kemahiran perniagaan, akses kepada kredit dan membina rangkaian kerjasama peniaga dan mentor.

Katanya, dalam usaha membantu wanita, mereka menjalinkan kerjasama erat dengan kementerian dan mencari wanita yang benar-benar mempunyai keazaman untuk berjaya sebagai usahawan dan golongan yang sudah menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

"Kami memanfaatkan pengalaman yang ada untuk membantu wanita yang memiliki perniagaan sendiri menguruskannya dengan lebih cekap.

"Antara aspek yang dipelajari adalah isu gender dalam keusahawanan, perancangan, pengurusan perniagaan dan kewangan, pemasaran produk dan cara memohon pinjaman.

"Pada masa sama, mereka diberi panduan persediaan, meningkatkan keyakinan dan memperkasakan diri untuk menghadapi cabaran dunia perniagaan," katanya.

Menurut McLaren, inisiatif itu sebahagian daripada usaha global memperkasakan wanita di seluruh dunia dan ia dijalankan memandangkan golongan hawa memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat apatah lagi 90 peratus daripada pendapatan mereka biasanya dibelanjakan untuk kebaikan keluarga dan komuniti.

Katanya, antara wanita yang dibantu di Sabah adalah mereka yang menjalankan perniagaan dalam bidang pengeluaran, pengedar, kitar semula, pembekal dan juga menghasilkan kraf seni.

"Ramai daripada wanita ini berhadapan dengan kebuntuan untuk membesarkan lagi perniagaan mereka. Ramai yang memiliki sifat keusahawanan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula. Kami gembira inisiatif bagi membangunkan kumpulan pertama wanita ini menemui kejayaan.

"Wanita ini bercita-cita besar, tetapi mereka tidak ada pendidikan tinggi. Dengan cara ini mereka dapat memberi peluang pendidikan lebih baik kepada anak masing-masing selain memperbaiki taraf hidup komuniti," katanya.

Sasaran inisiatif itu adalah untuk melatih 20,000 wanita di seluruh negara melalui program Suri dengan memberi tumpuan di Sabah terlebih dulu sebelum ia diperluaskan ke kawasan luar bandar pantai timur Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:03 AM