V SHEM (kiri), Wee Kiong banyak buat kesilapan ketika tersingkir dalam Seluruh England.
V SHEM (kiri), Wee Kiong banyak buat kesilapan ketika tersingkir dalam Seluruh England.
myMetro

Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong digesa segera memperbaiki segala kelemahan selepas mereka tumpas pada suku akhir Seluruh England Jumaat lalu dan ia sebahagian daripada persiapan menjelang Terbuka India (28 Mac hingga 2 April).

Menurut jurulatih beregu lelaki negara Jeremy Gan, walaupun V Shem masih dibelenggu kecederaan buku lali kanan namun ada beberapa kelemahan ketara ketika mereka tumpas 19-21, 21-17, 19-21 kepada Li Junhui-Liu Yuchen dari China.

“Mereka tidak bermain dengan baik dalam perlawanan itu dan melakukan beberapa kesilapan termasuk ketika melakukan servis. Begitu juga dalam beberapa kombinasi untuk mengambil serta mengangkat pukulan lawan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, V Shem-Wee Kiong juga dilihat tidak begitu yakin atau berasa selesa dalam gelanggang apabila cepat kehilangan idea.

“Saya akui kecederaan juga sedikit mengganggu permainan mereka terutama V Shem. Pergerakannya tidak begitu lancar dalam perlawanan itu,” kata Jeremy yang juga bekas pemain negara.

V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan utama kejohanan serta menduduki ranking nombor satu dunia akan menyambung aksi di Terbuka India dan mereka bakal berentap dengan Kittinupon Kedren-Dechapol Puavaranukroh di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 10:46 AM