AFP

Barcelona: Valtteri Bottas (gambar) membuktikan dia bersedia menggantikan juara dunia yang bersara Nico Rosberg dengan mencipta masa terpantas namun Ferrari terus menunjukkan tanda-tanda mereka mampu mencabar Mercedes musim ini pada hari ketiga ujian pramusim di Barcelona.

Kereta lebih pantas dan berkuasa tinggi yang dibenarkan tahun ini berikutan perubahan radikal peraturan membolehkan Bottas mencatat masa terpantas di Litar Catalunya sejak 2009 dengan satu minit 19.705 saat menggunakan tayar supersoft.

Bagaimanapun, catatan kedua terbaik juara dunia empat kali Sebastian Vettel 1:19.952s dengan menggunakan tayar soft lebih pantas berbanding Bottas menerusi compound yang sama.

Bottas, pemandu Finland menyerahkan tugas kepada Lewis Hamilton bagi sesi petang namun pemandu Britain itu tidak menggugat catatan terbaik carta ketika dia fokus dengan simulasi perlumbaan dan lebih perbatuan memandu jentera Mercedes W08.

Hamilton melengkapkan 95 pusingan dalam hanya beberapa jam dengan catatan ketujuh terpantas.

“Saya fikir ia satu lagi sesi yang bagus. Kami melengkapkan banyak perbatuan dan keseluruhan program dirancang, mengumpul mak
lumat mengenai compound tayar berbeza,” kata Bottas.

“Kami melakukan beberapa kerja aero pada sebelah pagi apabila keadaannya lebih sejuk, kemudian menguji pelarasan kereta berbeza. Saya fikir setiap orang melakukan tugas yang hebat setakat ini. Kereta boleh dikendalikan dengan baik dan ia semakin bagus.”

Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo mendakwa kelmarin Mercedes boleh dikalahkan musim ini selepas dominasi selama tiga tahun.

Pemandu Australia itu dan rakan sepasukannya dari Belanda, Max Verstappen dilihat mampu muncul kereta ketiga terbaik di grid apabila Ricciardo mencatat masa ketiga terpantas selepas melengkapkan 70 pusingan.

“Saya belajar lebih banyak mengenai kereta dan tayar hari ini dan benar-benar mula terasa downforce,” ujar Ricciardo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 7:59 AM