MUSTAPA (dua dari kanan) menandatangani buku pelawat sambil diperhatikan Idris (dua dari kiri).
MUSTAPA (dua dari kanan) menandatangani buku pelawat sambil diperhatikan Idris (dua dari kiri).

Melaka: Kejayaan Melaka dalam sektor pembuatan sepanjang tahun lalu berjaya melonjakkan namanya sebagai negeri ketujuh tertinggi menerima pelaburan keseluruhan dalam bidang itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu di Melaka sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM4.44 bilion.

“Pelaburan membabitkan sektor peralatan pengangkutan sebanyak RM3.2 bilion, produk elektrik dan elektronik (RM880 juta), percetakan dan penerbitan (RM160 juta) dan masing-masing RM40 juta bagi sektor perabot dan perkakasan serta pengeluaran makanan.

“Saya kagum dengan Melaka kerana pada 2013, negeri ini berada di tempat ke-10 namun dalam tempoh setahun ia mempamerkan prestasi amat memberansangkan. Jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM4.4 bilion ini adalah tertinggi pernah dicatatkan Melaka setakat ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan program turun padang ke Melaka di Seri Negeri, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron. Program selama sehari itu bertujuan memberi semangat dan dorongan kepada beberapa syarikat yang sedang beroperasi di Melaka supaya terus kekal dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Mustapa berkata, sebanyak 100,000 peluang pekerjaan dicipta dari 1980 hingga 2014 di Melaka membabitkan jumlah pelaburan bernilai RM35.7 bilion sepanjang tempoh itu.

Daripada jumlah itu, RM23.5 bilion atau 66 peratus disumbangkan daripada pelaburan luar negara antaranya dari Jepun, Amerika Syarikat, Taiwan dan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:16 PM