Antara barangan yang dirampas. - Foto SAFURI KAMARUDIN
Antara barangan yang dirampas. - Foto SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin


Baling: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita serta merampas 608.87 gram dadah jenis heroin, pistol palsu dan wang tunai RM1,200 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Hitam, Kuala Pegang, Baling, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, serbuan dilakukan pasukan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub dan 10 anggota dari balai Baling serta Kupang.

Beliau berkata, ketika serbuan, tiga lelaki dan wanita itu dalam keadaan khayal dan hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik menjumpai heroin dalam paket plastik dalam dua beg.

"Polis turut menjumpai dua paket dadah heroin yang dibungkus dengan surat khabar.

"Pemeriksaan turut menjumpai satu kotak besi berwarna hijau yang di dalamnya ada pistol bertulis 'WE' dipercayai pistol tiruan, tersorok di bawah meja," katanya.,

Shariffuddin berkata, polis merampas semua barang kes dan suspek ditahan reman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952/

Menurutnya, mereka yang positif mengambil dadah, dipercayai mengedar dadah sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 4:42 PM