ALBUM baru Kopratasa muatkan 10 lagu dalam bentuk cakera padat, digital.
ALBUM baru Kopratasa muatkan 10 lagu dalam bentuk cakera padat, digital.
Ridzuan Abdul Rahman


Walaupun hanya tinggal berdua, Sani Sudin dan Usop terus memperjuangkan lagu puisi bersama Kopratasa.

Cukup dikenali dengan lagu Masihkah Kau Ingat dan Permata Untuk Isteri, sejak 30 tahun lalu Kopratasa sudah menghasilkan 11 album termasuk album kompilasi.

Tahun lalu, mereka tampil dengan album berjudul Mathnawi Rumi terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang lima lagu dengan lirik daripada sajak ahli sufi terkemuka Jalaluddin Rumi.

Terbaru, Kopratasa tampil dengan album berjudul Aku Ingin Kembali yang memuatkan 10 lagu.

Usop berkata, album ini dihasilkan berdasarkan puisi seorang peminat mereka yang dikenali sebagai Ana Pena.

Album berkenaan juga diterbitkan di bawah syarikat milik Ana iaitu Iskaf Management.

“Beliau bukan orang seni tapi meminati bidang penulisan dan puisi. Dia yang keluarkan modal untuk pembikinan album ini.

“Kebanyakan lagu dibuat berdasarkan sajak ciptaannya sendiri manakala tugas kami hanya menghasilkan muzik dan menyanyikannya.

“Memang cara kami menghasilkan lagu berpandukan pada puisi. Ia bukan mudah tapi memang ini cara kami sejak dulu,” katanya.

Aku Ingin Kembali yang sudah dipasarkan membuka dimensi baru buat Kopratasa kerana selain dijual dalam bentuk cakera padat, lagu-lagunya boleh didapati dalam bentuk digital.

“Peminat boleh membeli menerusi iTunes, Kkbox, Joox dan pelbagai lagi. Seperti dulu, kami tak letakkan mana-mana lagu sebagai single kerana setiap lagu kami ada karakter sendiri.

“Peminat boleh pilih dan dengar mana-mana lagu kerana setiap lagu ada ceritanya sendiri. Muzik dihasilkan oleh kami sendiri dengan kerjasama Rafisuhu.

“Proses untuk menerbitkannya tak lama. Apabila dapat sajak, kami terus masuk studio dan hasilkan muziknya secara spontan. Cara ini lebih ikhlas,” katanya.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam Aku Ingin Kembali ialah Hidup, Pasrah, Cinta, Bermain Di Kalbu, Satukan Hatimu, Malam, Mungkir, Keroncong Jangan Bersedih, Aku Ingin Kembali dan Mati.

Stesen radio tidak adil

Album Aku Ingin Kembali bukan dihasilkan untuk kembali meraih populariti, sebaliknya Kopratasa mahu menjadikannya sebagai bahan dokumentasi untuk generasi masa depan.

Sani berkata, mereka tidak kisah sekiranya ada segelintir pihak tak pandang lagu-lagu Kopratasa.

“Yang penting ialah dokumentasi karya-karya kami. Ia sama seperti penulis yang hasilkan buku, novel dan sebagainya lagi. Tugas kami ialah berkarya.

“Orang macam kami tak boleh kecewa kerana kalau kecewa tiadalah album ini. Kalau kita nak fikir album ini laku, memang jawapannya dah diketahui awal-awal. Kalau nak fikir semua perkara negatif ini, dah lama kami berhenti,” katanya.

Sani berkata, dalam diam-diam ramai peminat yang mencari karya Kopratasa yang sukar didapati sekarang.

Dalam pada itu, Kopratasa mengharapkan supaya stesen radio memberikan kerjasama memutarkan lagu puisi tanpa prejudis.

“Sepatutnya radio membahagikan segmen lagu mengikut waktu tertentu dalam siaran mereka. Mereka perlu adil, tapi sebaliknya memainkan lagu berkonsep sama selama 24 jam.

“Ruang untuk kami tiada langsung. Contohnya apabila kami pergi ke sebuah stesen radio, mereka beri alasan hanya mainkan lagu untuk orang muda.

“Apabila pergi ke stesen radio lain, jawapan yang diberikan mereka hanya mainkan lagu klasik sedangkan lagu Kopratasa belum masuk kategori itu. Jadi, lagu kami nak dimainkan di mana? Bagaimana dengan kami, orang lama yang hasilkan lagu baru? Kami tak kecewa tapi berharap peluang dibuka dengan adil kepada semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 5:29 AM