HARAP lagu Hasrat Sang Enggang diterima pendengar.
HARAP lagu Hasrat Sang Enggang diterima pendengar.
Ridzuan Abdul Rahman

KEMUNCULAN sulungnya menerusi album Pintalah Aku Ke Sana sekitar 2016 kurang memberi impak terhadap peminat.

Tambahan lagi, genre puisi yang ditampilkan gagal mendapat tempat dihati peminat arus perdana yang lebih menyukai elemen lagu semasa.

Bagaimanapun, ia bukan penghalang buat Umar Uzair Mohd Zain atau mahu dikenali dengan panggilan pentas, Umar Uzair untuk terus menongkah arus menerbitkan album.

Sedekad dalam industri seni, dia tampil dengan album kedua berjudul Hasrat Sang Enggang yang menemui pendengar sejak tahun lalu.

Menurutnya, album yang memuatkan empat lagu itu adalah sebuah syair serta deklamasi sajak yang dianggap pertaruhan terbaik buatnya untuk dikenali peminat.

"Saya meletakkan harapan terhadap lagu Hasrat Sang Enggang sebagai single pertama untuk halwa telinga pendengar.

"Selepas itu, ia disusuli pula dengan lagu Rindu Membius Separuh Logikaku dan single ketiga, berjudul Demi Kesilapan Tenunganku, Maafkanlah.

"Tajuk lagu dan liriknya unik kerana saya hasilkan dengan menjadikan karya penulisan puisi sendiri terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) untuk dilagukan," katanya.

Menurutnya, album dibuat menampilkan lirik puisi yang bernuansa kehidupan dan beburung terutama tiga daripada judul lagu dalam album itu berkisar pada kisah tiga jenis burung iaitu Cenderawasih, Syair Burung Punggok selain Hasrat Sang Enggang.

"Tak terkecuali, keunikan juga dilakukan dalam aspek muzik apabila saya tampil dengan muzik yang lebih bertaraf antarabangsa menggunakan orkestra runut bunyi ala filem Hollywood untuk lagu Rindu Membius Separuh Logikaku.

"Juga ditampilkan elemen nusantara pada lagu Cenderawasih dan diimbangi dengan nada akustik dan santai menerusi lagu seperti Demi Kesilapan Tenunganku, Maafkanlah serta Hasrat Sang Enggang yang boleh didengari secara terus di semua platform digital," katanya.

Namun, kerancakan Umar Uzair mempromosikan album dan singlenya pada awal tahun ini terbantut seketika akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan kerana Covid-19.

Bagaimanapun, dia bersyukur dapat menjayakan beberapa sesi persembahan selepas PKP dilonggarkan.

"Saya dapat beraksi dalam persembahan mini di Menara Alor Setar dan Taman Mini Malaysia, Melaka sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia pada September lalu.

UMAR Uzair tampil lirik puisi yang bernuansa kehidupan dan beburung dalam album kedua.
UMAR Uzair tampil lirik puisi yang bernuansa kehidupan dan beburung dalam album kedua.

"Saya adalah seniman yang hidup dengan keprihatinan masyarakat yang faham berkenaan seni dan sastera.

"Untuk memahamkan mereka, kita perlu mendekati dan menerangkan kepentingan sastera dan kesenian kepada masyarakat. Jadi, saya perlu aktif berterusan supaya dapat meneruskan kehidupan," katanya.

Sempena Dekad Membaca Kebangsaan dan KL Kota Buku Dunia 2020, Umar Uzair menerusi syarikatnya, Meja Poedjangga mengusahakan Puisi Maya yang berupa sebuah program pembacaan untuk puisi panjang.

Ia berlangsung secara dalam talian melalui sebuah klip video berdurasi 10 minit yang menghimpunkan 11 tokoh terkenal terdiri dari pelbagai bidang termasuk sastera, filem, muzik dan kesenian.

Mereka ialah Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Syafinaz Selamat, Umar Uzair, Dr Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA), Osman Ali (pengarah filem), Ezlina Alias (Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negera, Melaka), Roslan Madun (Raja Syair Nusantara), Prof Dr Lim Swee Tin, Nad Zainal (aktres) dan Lin Haslinaz (Deklamator Kebangsaan).

Puisi Maya didatangkan dalam sebuah persembahan pembacaan secara perseorangan di kediaman sendiri seterusnya disatukan secara beramai-ramai dalam satu klip video yang dipancarkan melalui platfom digital dan media sosial utama seperti Youtube, Instagram serta Facebook Umar Uzair dan Meja Poedjangga mulai 1 November lalu.

Dengan membawakan tema bahasa dan persuratan, teks puisi yang dipersembahkan tokoh terbabit berjudul Bahasa Itu Ibundaku adalah karya Sasterawan Negara, Prof Muhammad Haji Salleh.

Puisi Maya adalah cetusan Umar Uzair yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Meja Poedjangga Malaysia yang sudah lama aktif membawa sastera dan kesenian di dalam dan luar negara.

"Saya agak terkilan kerana Bulan Bahasa Kebangsaan agak sepi pada tahun ini kerana pandemik Covid-19 menghalang kita untuk mengadakan sesebuah program secara langsung.

"Tapi, sasterawan dan seniman seharusnya terus maju bersama manfaat teknologi. Norma baharu ini, kita usahakan sebagai satu cara masyarakat tidak melihat sastera terkebelakang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:31 AM