MERTENS (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
MERTENS (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Milan: Penyerang Poland Arkaduisz Milik kembali disenaraikan sebagai pemain simpanan selepas sembuh daripada kecederaan panjang, tetapi dia hanya menyaksikan rakan sepasukannya Dries Mertens menjana kemenangan 2-0 Napoli ke atas Genoa sekali gus memastikan perebutan takhta Serie A kembali terbuka.

Piotr Zielinski dan Emanuele Giaccherini masing-masing menjaringkan gol pada babak kedua bagi membolehkan skuad kendalian Maurizio Sarri itu memintas Roma dan menduduki tangga kedua - enam mata di belakang pendahulu Juventus.

Roma yang menduduki tangga ketiga dan ketinggalan satu mata di belakang Napoli, berpeluang untuk merampas semula kedudukannya apabila menentang Crotone manakala Juventus bertandang ke Cagliari malam ini.

Kemenangan ke-18 berturut-turut Napoli dalam semua pertandingan itu memastikan moral pemain mereka tetap tinggi menjelang aksi Liga Juara-Juara di Real Madrid pertengahan minggu ini.

“Malam ini, kami menumpukan perhatian kepada Genoa dan bukannya Real,” kata Giaccherini.

“Kami sedar pertemuan ini pasti sukar kerana kawalan pemain Genoa sangat ketat. Secara peribadi, saya berlatih dengan kuat bagi memastikan saya sentiasa sedia jika diturunkan jurulatih.”

Milik yang dibeli dari Ajax untuk menggantikan Gonzalo Higuain, sudah disahkan sembuh daripada masalah ligamen lutut yang menghalangnya untuk bermain sejak Oktober lalu.

Tetapi ketika prestasi Mertens dilihat baik sambil memikirkan soal kunjungan ke Real Madrid minggu ini, Sarri mengambil keputusan untuk merehatkan Milik.

Selepas meledak tiga hatrik dalam tempoh kurang 12 minggu untuk mengumpul 16 jaringan sepanjang 24 perlawanan, Mertens tampil membantu Zielinski dan Giaccherini untuk menghasilkan gol pada pertemuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:55 AM