IPOH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam air banjir di ladang kelapa sawit Felcra Toh Paduka Raja dekat Kampung Gajah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, Mohamad Haris Mohamad Johari, 20, dari Kampung Padang Gertak, Pulau Tiga dekat sini dikhuatiri lemas ketika sedang menjala ikan pada jam 10.30 pagi.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu selain turut memaklumkan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Seri Iskandar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat lelaki itu dijalankan dengan bantuan anggota bomba dan penduduk kampung. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:31 PM