Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang lemas dalam kolam terbiar Kampung Masjid, Lenggeng, Nilai, hari ini. - Foto Ihsan PDRM
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang lemas dalam kolam terbiar Kampung Masjid, Lenggeng, Nilai, hari ini. - Foto Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI yang menjala ikan di sebuah kolam terbiar di Kampung Masjid, Lenggeng, Nilai, lemas selepas cuba menarik jala yang tersangkut dalam kolam itu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, Ghazlan Johari, 24, menjala ikan bersama beberapa rakan apabila jalanya tersangkut di dasar kolam lalu cuba menariknya.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, mangsa terjatuh dan tidak timbul-timbul menyebabkan rakan-rakannya cuba mencarinya selama dua jam namun gagal.

“Rakan mangsa kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lenggeng untuk bantuan pada 4 petang.

“Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemui mayat mangsa kira-kira 45 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 10:26 PM