ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menjala ikan di Kampung Pisang, Batu Gajah, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menjala ikan di Kampung Pisang, Batu Gajah, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG lelaki yang juga Orang Asli dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lombong ketika menjala ikan di Kampung Pisang, Batu Gajah, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohd Jamaluddin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat awam pada 5.42 petang memaklumkan terdapat dua lelaki terjatuh dalam lombong berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati seorang daripada lelaki berkenaan terselamat manakala seorang lagi gagal dikesan.

“Berdasarkan maklumat awal terdapat dua lelaki Orang Asli dipercayai terjatuh ke dalam lombong ketika menjala ikan di tebing lombong berkenaan.

“Seorang mangsa Bah Denis Ramli, 38, terselamat manakala rakannya, Miszal Abu, 38, beralamat di Kampung Sungai Perah, Parit masih hilang dan dikhuatiri lemas,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan membabitkan 10 anggota menggunakan dua bot melalui pencarian di permukaan air.

“Sehingga jam 8 malam tadi operasi masih dijalankan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh sudah dihubungi untuk bantuan pencarian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 9:04 PM