Nurasyikin menyerahkan sijil kepada Azizan (tiga dari kiri) pada Majlis Penjenamaan Semula Muzium 3D di pekarangan Oriental Village di Teluk Burau Langkawi, hari ini. FOTO HamzahOsman
Nurasyikin menyerahkan sijil kepada Azizan (tiga dari kiri) pada Majlis Penjenamaan Semula Muzium 3D di pekarangan Oriental Village di Teluk Burau Langkawi, hari ini. FOTO HamzahOsman
Hamzah Osman


Langkawi: Tayangan laser menggambarkan alam fantasi dan tamadun Mesir di Muzium 3D Art In Paradise Langkawi (Muzium 3D) di Teluk Burau, di sini, diiktiraf sebagai tayangan pemetaan dalam dewan paling besar di negara ini oleh Malaysia Book of Records (MBOR), hari ini.

Tayangan visual bergerak selama lima minit dengan ruang penglihatan merangkumi 180 darjah berkeluasan 556.32 meter persegi mampu memberi pengalaman baru kepada pengunjung ke pusat pelancongan itu.

Pada majlis sama, sebuah lukisan mural 3D yang menggambarkan tamadun Mesir bersaiz 1,200.73 meter persegi turut diiktiraf sebagai mural 3D paling besar di negara ini.

Sijil pengiktirafan kedua-dua rekod itu diserahkan wakil MBOR Nurasyikin Ramli kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin pada Majlis Penjenamaan Semula Muzium 3D di pekarangan Oriental Village di Teluk Burau, di sini, sebentar tadi.

Azizan berkata, tayangan laser yang unik itu memberi pengalaman baru kepada pengunjung seolah-olah mereka berada di kawasan Air Terjun Niagara di New York, Amerika Syarikat, Tamadun Mesir dan Empayar Rom.

"Usaha ini bertujuan memberi variasi produk untuk menarik kedatangan pelancong secara berulang, sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 1:30 PM