PELBAGAI artifak Mesir Purba yang dipamerkan tarik perhatian pengunjung.
PELBAGAI artifak Mesir Purba yang dipamerkan tarik perhatian pengunjung.
TOPENG emas yang dipercayai digunakan Firaun.
TOPENG emas yang dipercayai digunakan Firaun.
REPLIKA mayat Ramses II, yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan Firaun turut dipamerkan.
REPLIKA mayat Ramses II, yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan Firaun turut dipamerkan.
REPLIKA keranda emas Firaun jadi tarikan.
REPLIKA keranda emas Firaun jadi tarikan.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar berlatar belakang ‘Piramid’.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar berlatar belakang ‘Piramid’.
Mohd Amin Jalil


Tiada sesiapa pun dapat menafikan keunikan sejarah Mesir purba yang menarik perhatian pelbagai pihak.

Apatah lagi, jika ia berkenaan Firaun dan berkait rapat dengan Piramid yang dibina olehnya serta menjadi antara keajaiban dunia.

Malah, kisah Firaun mempunyai hubung kait dengan Nabi Musa AS sekali gus menyebabkan ramai yang teruja untuk mengenali sejarah silam Mesir kerana ia antara tamadun tertua di dunia yang melebihi 3,000 tahun.

Bagi berkongsi maklumat dengan orang ramai berkenaan sejarah itu, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) kini mengambil langkah mengadakan pameran Khazanah Mesir Purba, di Muzium Negeri di Seremban.

Walaupun sejarah berkenaan zaman Mesir purba itu tercatat dalam pelbagai genre penulisan, pameran yang diadakan itu, tetap menarik perhatian ramai bukan saja dalam kalangan penduduk negeri terbabit malah dari luar termasuk Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang.

Pameran itu yang berlangsung hampir empat bulan bermula Disember lalu hingga 31 Mac ini adalah julung kali diadakan tanpa dikenakan sebarang bayaran masuk.

Ia juga berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan umur termasuk remaja dan pelajar yang berminat mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sejarah unik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan Datuk Abd Razak Ab Said berkata, sebanyak 28 artifak dan replika Mesir purba dipamerkan.

“Ia julung kali diadakan di muzium berkenaan dengan tujuan menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

“Pameran hasil kerjasama LMNS, Lembaga Muzium Negeri Kelantan dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini memaparkan pelbagai artifak bersejarah Mesir purba termasuk yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan Firaun serta Nabi Musa AS.

“Walaupun bahan artifak yang dipamerkan itu terhad, banyak maklumat diketengahkan berjaya menarik perhatian orang ramai kerana ia antara tamadun tertua.

“Malah, Firaun pula sangat sinonim dengan bangunan ciptaannya, Piramid yang diiktiraf sebagai satu daripada keajaiban dunia,” katanya.

Antara bahan yang dipamerkan termasuk replika keranda emas Firaun, gambar Piramid, replika topeng emas yang dipercayai digunakan Firaun dan sejarah berkenaan peristiwa mengejar Nabi Musa AS di Laut Merah.

Fakta yang dipaparkan mengikut satu-satu peristiwa itu dibantu dengan gambar yang memaparkan peristiwa sebenar nyata memudahkan setiap pengunjung untuk memahami setiap peristiwa berkenaan dengan baik.

Menurut Abd Razak, pihaknya yakin pameran itu dapat memberikan maklumat dan membuka minda pengunjung terhadap sejarah Mesir purba termasuk yang banyak dirakamkan dalam al-Quran.

Pihaknya memuji langkah LMNS mengadakan pameran itu kerana setakat ini ia menerima sambutan luar jangkaan daripada orang ramai.

“Saya yakin pameran itu menerima sambutan baik bukan saja dalam kalangan penduduk negeri ini malah dari luar kerana ia membabitkan sejarah yang berusia lebih 3,000 tahun dulu.

“Kami menyasarkan untuk menarik seramai kira-kira 10,000 pengunjung sepanjang tempoh pameran ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 11:48 AM