Mohd Ruzaini Zulkepli

hmkk@hmetro com.my

Kota Kinabalu: Mayat wanita berbaju merah berseluar hitam ditemui tersangkut di pukat nelayan antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga, di sini, hari ini.

Mayat berkenaan dikesan di lokasi 8 batu nautika dari barat daya Pulau Mengalum dan 20 batu nautika dari Pulau Tiga, pada 9.25 pagi.

Jasad itu kemudian diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata identiti mayat itu sedang dikenalpasti.

Beliau berkata, proses pengecaman mayat berkenaan turut dilakukan segera dan sebarang maklumat mengenainya akan diberikan dari semasa ke semasa.

"Kami serah pada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Operasi APMM.

Mengulas mengenai perkembangan usaha mencari dan menyelamat (SAR), katanya, kawasan pencarian hari kelapan itu sudah membabitkan 1,600 batu nautika di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei Darulsalam.

"Susulan penemuan terbaru ini, kita akan tumpuan pencarian di lokasi mayat ditemui di perairan Pulau Mengalum dan Pulau Tiga.

"Kita juga akan meminta bantuan daripada semua nelayan untuk melakukan aktiviti memukat bagi usaha mencari mangsa yang masih hilang, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 1:47 PM