Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Hilang disorok bunian, bertemu 'penjaga' bukit, mengikut sekumpulan lelaki berjubah putih. Itu antara dakwaan orang ramai mengenai kehilangan Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20.

Dia yang hilang selama tujuh hari di Bukit Broga, Semenyih menyangkakan tersesat selama tiga hari sebelum ditemui orang awam, 11.15 pagi, 28 Januari lalu.

Namun tiada siapa yang tahu, apa sebenarnya yang berlaku kepada dirinya. Ikuti temubual wartawan, bersama Mohd Azarul Mukhriz menerusi panggilan telefon, yang masih berehat di rumah keluarganya di Kampung Sungai Reba, Kota Kuala Muda, Kedah.

Wartawan: Mukhriz sihat?

Mukhriz: Sihat, Alhamdulillah.

Wartawan: Mukhriz masih ingat apa yang berlaku semasa kejadian itu?

Mukhriz: Tak berapa ingatlah.

Wartawan: Apa yang terakhir Mukhriz ingat?

Mukhriz: Masa awal 'dia' bawa pi je lah.

Wartawan: Siapa 'dia' tu?

Mukhriz: Ada budak tu ajak pi.

Wartawan: Ajak pi mana? Atas tu?

Mukhriz: Haah, atas tu, atas Gunung Tok Wan tu.

Wartawan: Budak mana? Kawan ke atau Mukhriz tak kenal?

Mukhriz: Budak tak kenal. Budak kecil.

Wartawan: Umur dalam berapa?

Mukhriz: Kalau nak agak-agak tu dalam 9 tahun kot.

Wartawan: Lepas itu Mukhriz ikut dia?

Mukhriz: Haah, ikut. Lepas tu tak ingat.

Wartawan: Bila Mukhriz sedar tersesat, apa yang Mukhriz buat? Tidur macam mana?

Mukhriz: Tidur atas batu. Tak makan langsung. Minum air yang ada.

Wartawan: Ingat tak bila Mukhriz panggil minta tolong?

Mukhriz: Masa tu, pagi... matahari suluh mata. Mukhriz ikut cahaya matahari tu keluar. Mukhriz ikut cahaya matahari tu keluar, dengar suara Mat Saleh sembang.

Wartawan: Sebelum hari tu, Mukhriz ada dengar suara siapa-siapa?

Mukhriz: Tak dengar.

Wartawan: Bila dah jumpa mereka, apa yang Mukhriz rasa masa tu?

Mukhriz: Rasa lega dapat keluar juga. Syukur kepada Tuhan. Ingat tak boleh keluar dah.

Wartawan: Masa itu Mukhriz ingat dah berapa hari?

Mukhriz: Rasa tiga hari je macam tu.

Wartawan: Bila turun, jumpa keluarga dan mak?

Mukhriz: Keadaan tu sedihlah... keadaan sedih.

Wartawan: Ramai yang tolong cari Mukhriz masa tu. Mungkin Mukhriz nak ucap terima kasih kepada mereka?

Mukhriz: Terima kasih banyak-banyak kepada semua.

Wartawan: Masa mula mendaki tu Mukhriz dengan siapa?

Mukhriz: Dengan bos (majikan). Keluarga dia sekali dalam lapan orang.

Wartawan: Masa tersesat tu Mukhriz buat apa?

Mukhriz: Ada ingat keluarga, mengaji, mengaji surah Yassin.

Wartawan: Bila dapat keluar, apa perkara pertama yang Mukhriz buat?

Mukhriz: Syukur kepada Tuhan, doa kepada Tuhan, terima kasih.

Wartawan: Ada perancangan nak mendaki bukit lagi?

Mukhriz: Tunggu semuanya lega baru nak naik balik.

Wartawan: Sekarang sudah semakin tenang?

Mukhriz: Tak. Lemah juga lah. Sampai berubat ke merata tempat.

Wartawan: Terima kasih banyak-banyak Mukhriz. Jaga diri.

Mukhriz: Ya, sama-sama.

Mohd Azarul Mukhriz ditemui kira-kira 700 meter dari puncak Gunung Tok Wan oleh Muhammad Ridhallah Ariffin, 27, dan tiga lagi rakannya termasuk dua pelancong Britain.

Dia hilang ketika mendaki Bukit Broga, kira-kira 6 petang, Ahad, 22 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:20 PM
MOHD Azarul Mukhriz Abd Rahman ketika ditemui selepas hilang tujuh hari di Bukit Broga 28 Januari lalu.
MOHD Azarul Mukhriz Abd Rahman ketika ditemui selepas hilang tujuh hari di Bukit Broga 28 Januari lalu.