MUKHRIZ Mahathir. FOTO arkib NSTP
MUKHRIZ Mahathir. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan spekulasi beliau bakal dilantik menjadi Menteri Pendidikan bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan itu 2 Januari lalu.

Beliau berkata, spekulasi itu hanyalah andaian semata-mata sedangkan perkara itu tidak disebut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan mereka sebelum ini.

Malah katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak menyediakan senarai calon untuk pertimbangan Dr Mahathir.

"Depa ni tak dak kerja, masukkan gambar lama dan buat andaian bukan-bukan... Sehari sebelum peletakan jawatan Dr Maszlee, saya ada berjumpa beliau (Dr Mahathir), tapi tak ada sebut sepatah pun pasal tu.

"Saya pun tak tau dan tak tanya, beliau tak bagi hint (apa -apa petunjuk) pun," katanya ketika ditemui selepas Menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular spekulasi Mukhriz bakal dilantik menjadi Menteri Kabinet manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah pula dilantik menjadi Menteri Besar Kedah.

Turut tular gambar Mukhriz bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ab Rahman Ku Ismail yang turut dikaitkan bakal dilantik sebagai Menteri Besar.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata, parti itu tidak mencampuri urusan perlantikan Menteri Pendidikan kerana ia adalah prerogatif (hak istimewa) Perdana Menteri untuk membuat keputusan berkenaan.

Katanya, MPT menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menilai calon yang layak dan bersedia menyokong sesiapa saja yang dilantik menjadi Menteri Pendidikan.

"Parti lain pun tak masuk campur urusan itu, jadi BERSATU pun tak campur, itu prerogatif beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 1:16 PM