Baucar yang diberikan kepada wartawan. FOTO Nabihah Kamal
Baucar yang diberikan kepada wartawan. FOTO Nabihah Kamal
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Sindiket judi dalam talian semakin selamba dalam mencari pelanggan apabila tanpa segan silu mempromosikan judi itu dengan memberi baucar kepada orang ramai. 

Bagaikan tiada kesalahan, budak suruhan sindiket berkenaan pergi ke tempat tumpuan orang ramai seperti kedai makan dan memberi baucar itu.

 Selepas memberi baucar, mereka menunjukkan gambar lokasi kedai judi dalam talian mereka dan mengambil gambar penerima baucar sebagai bukti sudah melaksanakan tugas.

Wartawan Harian Metro turut didekati kelmarin dan diberi baucar RM10.

Budak suruhan: Abang, kita ada baucar. Abang boleh pakai di kedai kita.

Wartawan: Apa ini?

Budak suruhan: Ini baucar boleh pakai untuk main 'game'. Abang bagi baucar RM10 ini, kita masukkan kredit RM10.

Wartawan: Ini judi online ke?

Budak suruhan: (Diam seketika). 'Game' abang macam 'slot' (permainan judi dalam talian). Kedai kita di sini ( sambil tunjuk lokasi kedai dan ambil gambar penerima baucar).

Wartawan: Kenapa ambil gambar?

Budak suruhan: Bukti kami sudah buat kerja.

Wartawan: Padam gambar. Awak suka hati saja ambil gambar. Mana boleh.

Individu itu kemudian ke meja lain untuk memberi baucar berkenaan.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan apa yang dilakukan sindiket judi dalam talian itu biadab.

"Umpama tiada adab apabila menawarkan baucar judi seperti di kedai makan. Kita perlu bersama membantu kerajaan membanteras aktiviti judi ini dengan melaporkan kegiatan mereka kepada pihak berwajib," katanya. 

Nadzim berkata, aktiviti judi dalam talian di negara ini dilihat semakin meningkat.

"Statistik yang PPIM perolehi, pada 2015, terdapat lebih 300 premis judi dalam talian yang beroperasi namun angka premis itu semakin meningkat pada 2016 di mana lebih 3,000 premis judi beroperasi di sekitar Lembah Klang," katanya. 

Menurut Nadzim, masalah ini memberi implikasi kepada status kewangan masyarakat.

" 'Tahi judi' akan mula berhutang kerana ingin berjudi, menyebabkan timbul pula masalah berhutang dengan Ah Long," katanya. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 10:10 PM