MOHD Helmi Mohamed, 33 sanggup mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59, dengan sabit di sebuah rumah di Kampung Cherang pada 14 April 2019 lalu hanya kerana ibunya menyediakan ayam goreng mentah, dijatuhi hukuman denda RM6,000 di Mahkamah Majistret di sini. FOTO Muhamaad Razis Ismail
MOHD Helmi Mohamed, 33 sanggup mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59, dengan sabit di sebuah rumah di Kampung Cherang pada 14 April 2019 lalu hanya kerana ibunya menyediakan ayam goreng mentah, dijatuhi hukuman denda RM6,000 di Mahkamah Majistret di sini. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail


HANYA kerana ibunya menyediakan ayam goreng kurang masak, seorang lelaki sanggup mengugut mahu menetak wanita itu dengan sabit.

Perbuatan tertuduh, Mohd Helmi Mohamed, 33, itu bagaimanapun membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM6,000 di Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini selepas mengaku salah terhadap tuduhan.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Difahamkan tertuduh tidak membayar denda itu hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59, dengan sabit di rumah di Kampung Cherang, Kota Bharu, pada 5 petang, 14 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh yang baru bangun daripada tidur mengamuk selepas ayam goreng yang dimakannya mentah.

Tertuduh kemudian membuang ayam itu sebelum mengugut mahu menetak ibunya dengan sabit dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 1:51 PM