FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


TINDAKAN seorang lelaki memecahkan tiga pasu jirannya membawa padah apabila didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Quah Lian Huat, 60, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memecahkan tiga pasu bunga dengan niat menyebabkan kerosakan harta benda milik Ee Chop Ler, 67, di sebuah rumah di Jalan Air Jernih pada 9.45 pagi, 8 Mac lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumah didatangi tertuduh dan isterinya sambil memegang kayu dan mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan terhadap mangsa.

Sebelum beredar meninggalkan rumah mangsa, tertuduh mengangkat tiga pasu lalu memecahkannya menyebabkan mangsa kerugian RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 2:49 PM