FOTO ihsan Bomba
FOTO ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


Cameron Highlands: Dua belas penghuni dari lima rumah terpaksa dipindahkan berikutan banjir di Brinchang dan Tringkap di sini, hari ini.

Dalam kejadian di Pekan Lama, Brinchang, lima rumah yang terletak berdekatan Sungai Bertam dinaiki air akibat limpahan sungai berkenaan manakala di Kampung Lama, Tringkap, sembilan rumah terjejas tetapi penghuninya tidak dipindahkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Mohd Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian di Pekan Lama, Brinchang pada 4.30 petang sebelum mengarahkan anggotanya ke kawasan berkenaan.

"Operasi pemindahan membabitkan penghuni di lima rumah yang terletak berhampiran Sungai Bertam.

"Air naik setinggi hampir satu meter mengakibatkan empat rumah kayu di situ dinaiki air manakala satu lagi rumah teres hanya membabitkan bahagian dapur sahaja.

"Berikutan kejadian itu, operasi pemindahan dilakukan membabitkan kesemua penghuni rumah berkenaan sehingga paras air kembali normal dan operasi pemindahan tamat pada 5.25 petang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, air mula surut dan mereka kembali ke rumah masing-masing

Sementara itu, Mohd Haziq berkata, sembilan rumah di Kampung Lama, Tringkap dinaiki air akibat limpahan air Sungai Tringkap yang dianggarkan naik hampir satu meter daripada paras normal.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada 3.45 petang dan menggerakkan anggota ke lokasi berkenaan namun tiada operasi pemindahan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:09 PM