SUKARELAWAN guna WhatsApp untuk operasi.
SUKARELAWAN guna WhatsApp untuk operasi.
ZULFADHLI (depan) memberi arahan.
ZULFADHLI (depan) memberi arahan.
SUKARELAWAN bekerjasama menyusun barAang.
SUKARELAWAN bekerjasama menyusun barAang.
BANYAK bantuan diterima namun tidak cukup sukarelawan untuk menyelaraskannya.
BANYAK bantuan diterima namun tidak cukup sukarelawan untuk menyelaraskannya.
Oleh Afiq Hanif

Esok sudah tiba tahun 2015, namun musibah yang menimpa negeri di pantai timur sudah pasti merencatkan persediaan kedatangan tahun baru.

Banjir besar yang melanda Pahang, Terengganu dan negeri paling terjejas, Kelantan mengakibatkan tidak cukup makanan dan tempat tinggal musnah, malah ada rumah yang dihanyutkan air setinggi dua atau tiga tingkat.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia cukup prihatin membantu mangsa banjir yang kini menjejaskan ratusan ribu penduduk terutama mereka yang terputus hubungan bukan saja dari aspek komunikasi juga keperluan asas.

Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula menggerakkan operasi menghantar bantuan dengan sukarelawannya sanggup mengambil cuti bagi membungkus, menyusun dan menghantar keperluan asas secepat mungkin.

Di sinilah bermulanya inisiatif digital bagi tujuan itu yang dibantu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk melancarkan operasi bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Media sosial seperti laman Facebook, Twitter dan Instagram digunakan untuk menyalurkan maklumat berkaitan bantuan.

Tidak ketinggalan, aplikasi permesejan seperti WhatsApp dan Telegram yang dimanfaatkan sepenuhnya NGO bagi tujuan sama.

Saluran maklumat yang disebarkan termasuk senarai keperluan barangan diperlukan mangsa, lokasi pengumpulan bantuan, senarai sukarelawan dan komunikasi antara pasukan operasi di dua lokasi berbeza.

Meskipun penyebaran maklumat palsu turut berlaku, kita tidak perlu menafikan keperluan laman sosial untuk membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri terbabit.

Kumpulan atau 'group' WhatsApp dan Telegram mula dibangunkan untuk tujuan komunikasi diketuai seorang atau dua pentadbir (admin) yang bertanggungjawab menyelaraskan operasi bantuan banjir.

Kemudian, sebaran maklumat kepada umum dilakukan dengan pantas melalui media sosial bertujuan memaklumkan perjalanan operasi dan bantuan yang diperlukan.

Berbekalkan kaedah ini, orang ramai yang ingin menyumbangkan tenaga atau barang keperluan boleh mendapatkan maklumat tanpa perlu menunggu lama.

Salah satu NGO yang menggerakkan kerja sukarelawan hanya dengan menggunakan laman sosial, Pertubuhan Belia Sinar Kasih Petaling (Mysinarkasih) berjaya mengumpul 500 sukarelawan dalam masa kurang dua hari.

Pengerusi Mysinarkasih, Zulfadhli Abd Halim, 32, berkata, NGO terbabit sememangnya bermula dengan aktiviti membantu mangsa banjir kira-kira empat tahun lalu.

"Sebelum didaftarkan, kami bermula dengan pelbagai program seawal tahun 2010.

"Projek pertama melalui program 60sinar, kami mencari penaja untuk membeli pakaian seragam sekolah untuk mangsa banjir di Kedah dengan kupon yang bernilai RM60 setiap satu, sekali gus berjaya membantu lebih 200 anak pesawah yang tanaman mereka musnah akibat banjir," katanya.

Selepas membantu mangsa banjir, Mysinarkasih melancarkan program memberi barangan keperluan asas kepada penduduk miskin bandar di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 Kota Damansara sempena bulan Ramadan pada 2012.

"Kali ini, kami gerakkan operasi bantuan banjir lebih cekap dengan memanfaatkan aplikasi permesejan dan laman sosial sepenuhnya," kata Zulfadhli.

Sementara itu, penyelaras operasi banjir 2014, Mohd Najib Yusoff, 29, berkata, kumpulan pertama dengan ahli seramai enam orang memulakan inisiatif memulakan kumpulan WhatsApp dan laman sosial untuk membantu mangsa banjir di pantai timur.

"Daripada enam orang, kini kumpulan WhatsApp penuh dengan ahli yang menyumbang dan menggerakkan operasi bantuan banjir.

"Kami paparkan poster yang dicipta memohon bantuan orang ramai untuk membantu mangsa dengan menderma barang keperluan asas," katanya.

Najib berkata, pemantauan aktiviti dan jaringan media sosial dibantu beberapa rakan termasuk Syahid Abdullah, 24, Shukri Mokhtar, 22, Nurainie Haziqah, 24, Mohd Alif Haqeem Azman, 22, Ahmad Al Farooqi Haja Mohideen, 22, dan Muhammad Masyhur Abdullah, 27.

"Kami cuba untuk menyebarkan maklumat untuk membolehkan orang ramai membantu dengan barang yang diperlukan," katanya.

Seorang lagi penyelaras, Nurul Nadiah Noor Azlan, 29, berkata, sebaik saja poster yang disebarkan secara meluas di laman sosial dan kumpulan WhatsApp lain, ratusan sukarelawan menghubungi mereka untuk menawarkan bantuan.

"Selain mengumpul barang keperluan asas, kami memerlukan sukarelawan untuk membungkus, menyusun dan mengumpulnya dalam lori yang akan membawa bantuan terbabit ke Kelantan dan Pahang," katanya.

Beliau berkata, ahli Mysinarkasih terkejut apabila lebih 500 orang hadir membantu dalam tempoh tiga hari selepas program bantuan banjir terbabit dilancarkan.

"Kami gunakan media sosial sebaik mungkin dengan 'hashtag' seperti #KelantanKamiDatang, #banjir dan #perpaduan untuk 'viral'," katanya.

Nadiah berkata, poster terbabit menjadi viral dan turut disebarkan selebriti yang mesra Internet seperti Tizz Zaqyah, Pekin, Hanis Zalikha, Nelidya Senrose, Altimet dan Marina Mahathir.

"Malah, ada juga selebriti lain yang datang membantu kami pada waktu malam untuk mengemas dan membungkus seperti DJ radio, Haniff dan bekas ratu bowling negara, Shalin Zulkifli," katanya.

Dalam pada itu, Syahid memaklumkan, lebih 80 tan barang keperluan asas seperti beras, biskut, air mineral, pakaian dan sebagainya berjaya dikumpul dalam masa tiga hari.

"Ia sangat mengejutkan kerana dalam tempoh yang singkat kami berjaya mengumpul barangan hanya kerana media sosial," katanya.

Malah, menurutnya terdapat sukarelawan bukan terdiri daripada rakyat Malaysia datang membantu operasi bantuan banjir yang dibuka dari jam 8 hingga 5 pagi setiap hari di dua lokasi utama.

Sementara itu, pereka poster Mysinarkasih, Shukri memaklumkan, beliau terpaksa bersengkang mata bagi menghasilkan poster yang pantas untuk dikongsi di laman sosial dan aplikasi permesejan.

"Poster yang dihasilkan perlu menepati platform terbabit dan mudah dibaca terutama di telefon pintar," katanya.

Hadkan penggunaan telefon

Tindakan menyebarkan berita palsu berhubung bencana banjir tanpa menyemak kesahihannya terlebih dulu boleh mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, pengguna media sosial diingatkan tidak menyebarkan, memindah naik atau berkongsi status berbentuk spekulatif.

"Jangan sebarkan maklumat berhubung bencana banjir tanpa berpandukan fakta daripada sumber yang layak," katanya.

SKMM juga meminta kerjasama orang ramai yang berada di kawasan banjir untuk mengurangkan penggunaan telefon bimbit kerana terdapat kesesakan dalam rangkaian.

"Mereka juga perlu mengelakkan daripada menggunakan data seperti menghantar WhatsApp bergambar, video dan MMS.

"Ini memandangkan beberapa rangkaian sudahpun terganggu kerana menara telekomunikasi di kawasan terbabit ditenggelami air dan bekalan elektrik terputus," katanya.

Setakat ini, SKMM bersama syarikat telekomunikasi giat menjalankan usaha membaik pulih dengan menggunakan 'generator set' (genset) serta kenderaan 'Cellular on Wheels' (COW) di kawasan yang tidak ditenggelami air.

"Orang ramai juga diminta mengurangkan penggunaan telefon bimbit di kawasan banjir bagi menjimatkan bateri supaya telefon mereka dapat bertahan lebih lama dan jika berlaku kecemasan, ia boleh digunakan untuk meminta bantuan," jelas Sharil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:03 AM