SUKARELAWAN membantu menyusun barang di bilik gerakan khidmat bakti.
SUKARELAWAN membantu menyusun barang di bilik gerakan khidmat bakti.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan Gerakan Khidmat Bakti Bantuan Mangsa Banjir 2014 bermula 26 Disember lalu bagi membantu mangsa banjir di pantai timur.

Bantuan juga dihulurkan kepada mangsa banjir di Perak, Kedah dan Perlis.

Penolong Pengarah Unit Media dan Publisiti Bahagian Komunikasi Korporat FAMA, Mohd Fadzli Mohamed berkata misi khidmat bakti itu cetusan idea Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

"Selain FAMA, 12 agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut membantu mangsa banjir.

"Pelbagai bantuan disalurkan seperti makanan dan minuman, keperluan asas serta wang," katanya.

Menurutnya, FAMA mendapat kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Malindo Air.

Sebanyak 18 tan metrik makanan termasuk sayur-sayuran dan barangan proses di hantar ke beberapa daerah.

"Sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan boleh ke Pusat Operasi FAMA Dengkil," katanya.

Mengulas mengenai misi itu, katanya ia pertama kali dilaksanakan di peringkat pusat.

"Malaysia sedang mengalami musim hujan lebat terutama di pantai timur hingga menyebabkan bencana banjir secara besar-besaran.

"Meskipun bantuan sebelum ini hanya membabitkan FAMA negeri, tetapi dengan situasi terkini, misi bantuan disepadukan di bawah MOA," katanya.

Seramai 200 sukarelawan FAMA dan MOA membantu menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Kami memberi fokus kepada sayur dan barangan proses keluaran FAMA, tepung, beras, air minuman dan biskut.

"Semua bantuan diagihkan kepada mangsa banjir menggunakan lori dan kontena," katanya.

Hubungi Pusat Operasi FAMA Dengkil di talian 03-87687141 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:02 AM