Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Penuh kontroversi. Itulah kesimpulan mudah yang boleh dibuat mengenai arena sukan negara sepanjang 2014, malah ia tidak tertumpu kepada satu acara saja malah membabitkan hampir semua badan sukan di Malaysia.

Paling tidak senang duduk membabitkan kontroversi tahun ini adalah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang perlu berdepan dengan kerenah penyokong, samseng bola sepak, rusuhan, bakar suar, keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil, mutu pengadilan dan paling dahsyat pergaduhan antara pegawai pasukan.

Insiden membabitkan sukan bola sepak bermula sejak Februari lagi dalam saingan Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan T-Team.

Pergaduhan dalam terowong itu membabitkan jurulatih Johor DT Cesar Fernando Giminez dan jurulatih kecergasan T-Team Stefano Impaguazzo sebelum melarat membabitkan pengurusan tertinggi serta pemain import kedua-dua pasukan.

Belum lagi reda dengan insiden berkenaan, berlaku pula pergaduhan antara penyokong Johor DT dan Pahang di Stadium Darul Makmur dalam aksi Liga Super berkesudahan tuan rumah menang 3-2.

Selain pembakaran suar dan mercun di dalam stadium, FAM juga dikejutkan rusuhan penyokong Sarawak pada saingan Piala Malaysia Ogos lalu ketika pasukan tuan rumah itu bertemu Perak.

Ada yang berpendapat kelemahan pengadilan saingan Liga Malaysia menyebabkan berlakunya sikap tidak puas hati penyokong hingga menimbulkan suasana tidak diingini.

Selain kekecohan saingan domestik, perlawanan antarabangsa turut dicemari pelbagai insiden termasuk ketika perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina, Mac lalu apabila penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan mercun hingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira lapan minit.

Insiden pada minit ke-31 itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap 30 tahun pentadbiran Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.

Sultan Ahmad Shah akhirnya mengambil keputusan menarik diri daripada mempertahankan jawatan itu pada Kongres Tahunan ke-50 FAM.

Sejarah tercipta dalam FAM apabila Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dipilih presiden baru FAM bagi sesi 2014-2018 dengan memperoleh undi majoriti dua pertiga selepas pengundian semula diadakan dengan jumlah 27 undi, manakala pencabar beliau, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat 12 undi.

Episod akhir kontroversi bola sepak ialah serangan samseng bola sepak terhadap penyokong Vietnam di Stadium Shah Alam pada saingan separuh akhir Piala AFF 2014 dan kualiti rumput Stadium Nasional, Bukit Jalil turut mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Selain bola sepak, badminton melalui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut tidak kering dengan kontroversi, paling diingati sudah tentu kegagalan ujian doping Datuk Lee Chong Wei yang masih lagi menunggu perbicaraan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu disahkan mengambil bahan terlarang dexamethasone di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

Kontroversi lain membabitkan sukan badminton adalah luahan secara terbuka jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mengenai keengganannya untuk mengetuai skuad ke Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Bagi sukan olahraga pula selain pelantikan Datuk Karim Ibrahim sebagai Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), turut mencuri tumpuan ialah pergaduhan sesama atlet antara Irfan Samsuddin dan A. Kavee di Casa 2, MSN, Bukit Jalil pada Sabtu lalu (27 Disember).

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pula pening kepala dengan masalah jurulatih kebangsaan, bermula dengan Paul Revington yang meletak jawatan pada awal tahun, diikuti dengan merehatkan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berikutan prestasi hambar di Piala Dunia dan Sukan Komanwel, sebelum ia dipikul pula Arul Selvaraj yang turut menerima nasib sama selepas gagal memenangi emas di Sukan Asia 2014 Incheon.

Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berdepan masalah apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengarahkan akaun persatuan itu disiasat.

Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail membuat keputusan menggantung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selama 30 hari, Oktober lalu sebelum mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan atau berdepan pembatalan.

Tidak terkecuali kejutan dalam pemilihan Persatuan Sepak takraw Malaysai (PSM) apabila Datuk Ahmad Ismail berjaya mengekalkan jawatan presiden biarpun usaha dilakukan banyak pihak untuk menjatuhkannya.

Turut mencuri tumpuan ialah nasib bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong yang ditukar jawatan akibat kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.

Beliau dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan Ahmad Shapawi dipilih sebagai pengganti selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiklankan jawatan itu serta mengadakan temuduga.

Cabaran kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon menutup tirai sukan negara apabila gagal mencapai sasaran tujuh dan lapan pingat emas, sasaran paling rendah pernah ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MSN sendiri.

Di Glasgow, Malaysia meraih enam emas, manakala Incheon hanya lima emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:06 AM