Muhammad Apendy Issahak dan Farah Suhaidah Othman


Batu Gajah: Identiti dua daripada lima mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Ipoh-Lumut, hari ini sudah dikenal pasti setakat ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, mangsa maut yang sudah dikenal pasti adalah Anita Zuriana Abu Zarim, 46, iaitu penumpang hadapan Mercedes Benz yang juga Pengurus Kanan UMW Oil & Gas, serta Leong Kok Chuen, 37, pemandu Toyota Vios yang berasal dari Ipoh.

"Mangsa cedera yang sudah dikenal pasti adalah Radzlan Mohamed, 50, pemandu Mercedes Benz yang juga Pengurus Kanan Syarikat AAT, anaknya Anisa Rizuana, 19, dan Azra Rhea, 13, kedua-duanya penumpang belakang.

"Penumpang Toyota Vios yang maut dan masih belum dikenal pasti adalah dua wanita Cina berusia lingkungan 60-an dan 20-an serta seorang lelaki Cina berusia lingkungan 40-an," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Mercedes dari arah Ipoh ke Seri Iskandar gagal mengelak Toyota Vios dari arah bertentangan yang disyaki memotong hingga memasuki laluannya dan bertembung.

"Dalam kemalangan ini pemandu dan dua penumpang Vios meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi penumpang meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

“Manakala penumpang hadapan Mercedes meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu serta dua penumpang belakangnya parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 8:08 PM