Datuk Asri Yusoff (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC1, Datuk Mohd Nashir Ya (kanan) menunjukkan pistol bersama senapang buatan sendiri serta peluru yang ditemui di rumah suspek kes samun sebuah bank di Taman Ria. FOTO Amran Hamid
Datuk Asri Yusoff (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC1, Datuk Mohd Nashir Ya (kanan) menunjukkan pistol bersama senapang buatan sendiri serta peluru yang ditemui di rumah suspek kes samun sebuah bank di Taman Ria. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


Sungai Petani: Kehilangan wang berjumlah lebih daripada RM100,000 menjadi punca utama suspek lelaki berusia 50 tahun bertindak merompak sebuah bank di Sungai Petani semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata susulan kejadian semalam, siasatan awal mendapati motif utama suspek yang bertugas sebagai pengurus di sebuah firma kawalan keselamatan bertindak merompak sebuah bank itu disebabkan kehilangan wang lebih berjumlah RM100,000 yang sepatutnya dihantar olehnya ke sebuah bank.

"Oleh hal demikian, suspek yang begitu terdesak mengambil jalan mudah cuba menyamun sebuah bank di kawasan berkenaan (Taman Ria Jaya) menggunakan senjata api milik firma itu bagi menggantikan wang dihilangkan olehnya.

"Malah berdasarkan cara suspek merompak bank berkenaan juga dilakukan tanpa perancangan rapi sehingga dia berjaya ditahan sebelum berjaya melarikan wang berkenaan," katanya.

Beliau berkata di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini tadi.

Asri berkata terdapat satu laporan polis dibuat berkenaan mengenai kehilangan wang berkenaan pada jam 5 petang semalam.

"Tindakan susulan pihak polis ke rumah suspek di Sungai Lalang, Bedong pada petang semalam turut menemui selaras senapang angin buatan sendiri, beberapa kotak peluru hidup, komponen senjata api.

"Selain itu, dua beg plastik berisi lima tabung pistol angin dan peluru bebola besi. Disebabkan suspek ini bekas seorang anggota tentera jadi kita percaya suspek pakar mengubahsuai senjata berdasarkan senjata buatan sendiri yang kita temui ini," katanya.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru.

Bagi siasatan kehilangan wang berjumlah lebih RM100,000 pula, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Harian Metro semalam melaporkan seorang pengawal keselamatan cedera ditembak seorang lelaki bersenjata yang menyerbu masuk ke dalam sebuah bank di Taman Ria Jaya,Sungai Petani.

Cubaan rompakan oleh suspek bersenjata itu bagaimanapun gagal kerana berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan dan seorang kakitangan sebuah bank selepas berlaku pergelutan sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 2:49 PM