Mangsa banjir memindahkan ahli keluarga dan dokumen penting ke kawasan selamat berikutan banjir di Kampung Dusun, Lipis.  FOTO AMIR HAMZAH NORDIN
Mangsa banjir memindahkan ahli keluarga dan dokumen penting ke kawasan selamat berikutan banjir di Kampung Dusun, Lipis. FOTO AMIR HAMZAH NORDIN
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Jumlah mangsa banjir di Pahang yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada 1,328 orang pagi ini berbanding 373 orang malam tadi.

Sebanyak tujuh daerah terjejas iaitu Kuantan, Lipis, Rompin, Jerantut, Raub Maran dan Pekan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusoff berkata, Pekan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 453 orang daripada 106 keluarga yang ditempatkan di lima pusat PPS.

Katanya, daerah ini juga terus menunjukkan peningkatan jumlah mangsa apabila sebanyak 277 orang dipindahkan sehingga jam 6 pagi ini.

Di Maran, 61 keluarga membabitkan 182 mangsa dipindahkan bermula tengah malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air.

Jumlah mangsa di daerah lain juga meningkat iaitu Raub (169 orang), Jerantut (120 orang), Rompin (69 orang) dan Lipis (58 orang).

Pemantauan terus dilakukan pihak berkuasa memandangkan hujan masih lagi berterusan di sesetengah daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 8:26 AM