MUHAMMAD Faizul Rosly (kiri) bersama adiknya, Muhammad Faizrul menyelamatkan arnab peliharaan serta barang keperluan berikutan banjir yang melanda kawasan rumah mereka di Kampung Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
MUHAMMAD Faizul Rosly (kiri) bersama adiknya, Muhammad Faizrul menyelamatkan arnab peliharaan serta barang keperluan berikutan banjir yang melanda kawasan rumah mereka di Kampung Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


LIPIS menjadi daerah terbaru di Pahang dilanda banjir dengan sembilan mangsa daripada dua keluarga dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Balairaya Tanjung Bungor dan Balairaya Lentang, hari ini.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, keseluruhannya jumlah mangsa banjir terus meningkat dengan seramai 6,784 mangsa daripada 1,843 keluarga dicatatkan sehingga jam 10 pagi ini, berbanding 4,870 mangsa daripada 1,337 keluarga malam semalam.

Kuantan masih menjadi daerah paling ramai mangsa iaitu 5,166 orang daripada 1,444 keluarga yang ditempatkan di 24 PPS manakala di Rompin, 652 mangsa daripada 174 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

Di Pekan, 687 mangsa daripada 169 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala di Jerantut, 52 mangsa daripada enam keluarga berlindung di tiga PPS dan Maran mempunyai seramai 220 mangsa daripada 49 keluarga di tiga PPS.

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 8 pagi, jumlah sungai yang melepasi tahap merah atau bahaya di negeri ini terus meningkat kepada enam berbanding empat, petang semalam.

Enam sungai berkenaan adalah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (30.08 meter), Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan (10.71 meter), Sungai Yap, Jerantut (52.46 meter), Kuala Sungai Chini, Pekan (14.97 meter) dan Sungai Belat, Sri Damai (5.84 meter).

Selain itu, tiga sungai turut melepasi tahap jingga atau amaran iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut (66.82 meter), Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (18.73 meter) dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi (7.77 meter).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 11:14 AM