FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Asrol Awang


Kuantan: Lima sungai, masing-masing dua di Jerantut dan satu di Maran, Lipis dan Raub merekodkan bacaan melepasi paras amaran setakat 4 petang tadi.

Ia membabitkan Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Kuala Tahan, Jerantut; selain Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub serta Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Manakala Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong pula melepasi paras waspada.

Sementara itu, seramai 2,489 mangsa banjir daripada 783 keluarga masih berada di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini, sehingga 4 petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Pekan merekodkan mangsa banjir paling ramai iaitu 973 orang, diikuti Temerloh (716 orang), Kuantan (463 orang), Bentong (248 orang) dan Maran (89 orang).

Katanya, sebanyak sembilan jalan ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Southern Loop, Bentong dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut, Jerantut.

"Turut ditutup Jalan Sungai Lembing, Kuantan; Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Maran; Jalan Bentong-Gua Musang, Lipis; Jalan Kuantan-Segamat, Pekan; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Paya Luas-Perlok di Temerloh.

"Sebanyak 21 kes kematian akibat banjir direkodkan di Pahang setakat ini iaitu 11 kes di Bentong, Temerloh (empat), Kuantan (tiga) dan Raub(dua) serta satu lagi di Pekan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:15 PM