TAT Meng (kanan) menggalas tugas jurulatih perseorangan wanita negara.
TAT Meng (kanan) menggalas tugas jurulatih perseorangan wanita negara.

Menabur khidmat di negara orang hakikatnya bukan tugas mudah tidak kira apa juga skop tugasan itu.

Bekerja di tanah air sendiri sebenarnya yang terbaik dan menjadi pilihan majoriti rakyat di negara masing-masing.

Begitu juga yang berlaku kepada jurulatih badminton negara. Sejak sekian lama kita menyaksikan jurulatih tempatan datang dan pergi di perantauan.

Terbaru bekas jurulatih perseorangan wanita Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Tat Meng meninggalkan badan induk itu selepas menerima tawaran selaku ketua jurulatih Scotland.

Sebelum itu, bekas jurulatih beregu BAM Tan Kim Her lebih awal meninggalkan badan induk itu untuk menjadi jurulatih di India.

Ia bukan pengalaman pertama untuk kedua-dua bekas pemain negara itu kerana Tat Meng pernah menjadi jurulatih di Indonesia manakala Kim Her di England dan Korea Selatan.

Saya tidak menafikan keupayaan kedua-duanya selaku jurulatih, tetapi sebagai pemerhati sukan ini, saya berharap kedua-duanya bukan sekadar memegang status selaku jurulatih saja.

Mereka seharusnya mampu menghasilkan pemain berkelas dunia serta meraih pelbagai kejayaan sekali gus mengharumkan nama negara.

Contoh terbaik yang dapat saya berikan adalah bekas pemain beregu Indonesia, Rexy Mainaky. Rekodnya selaku jurulatih baik di negaranya sendiri mahupun ketika di Malaysia sangat memberangsangkan.

Di bawah bimbingannya, kita dapat saksikan bagaimana cemerlangnya prestasi bekas beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Itu yang saya maksudkan. Bukan sekadar hadir melatih satu-satu negara tanpa mempunyai sebarang kredibiliti dan meninggalkan tugas tanpa kesan besar.

Sudah tentu saya juga amat berbangga sekiranya mereka berdua lebih berjaya di luar negara berbanding ketika melatih di tempat sendiri.

Berpeganglah kepada prinsip masing-masing serta yang paling penting wujudkan situasi rasa hormat pemain terhadap anda selaku jurulatih.

Kerana itu kunci kejayaan bagi seseorang jurulatih. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:08 AM