GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam tali air di Kampung Jambu Merah di sini, petang tadi.

Mangsa, 7, terdahulu bersama keluarganya ke tali air itu pada 5 petang kerana bapanya ingin memukat ikan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa meminta kebenaran bapanya, 33, untuk turun bermain di tali air berkenaan.

"Bapanya membenarkannya sebelum lelaki itu terus memancing ikan di kawasan dalam petak sawah.

"Selang beberapa minit kemudian, pengadu mendapati anak lelakinya tiada dan dia cuba mencari di sekitar kawasan itu termasuk di dalam tali air dan mendapati mangsa berada di dasar tali air," katanya ketika dihubungi di sini.

Azman berkata, sebaik mangsa diangkat ke tebing sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Mahligai.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 6.50 petang tadi dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 12:15 AM