SITI Nora menunjukkan mesin muruku ciptaannya.
SITI Nora menunjukkan mesin muruku ciptaannya.
BAULU besar dan kecil jualannya turut mendapat permintaan menggalakkan.
BAULU besar dan kecil jualannya turut mendapat permintaan menggalakkan.
SITI Nora bersama produk muruku yang kini dipasarkan ke luar negara.
SITI Nora bersama produk muruku yang kini dipasarkan ke luar negara.
Mohd Rafi Mamat

Sepanjang tempoh tiga tahun, tiga kali dia gagal dalam perniagaan. Meskipun perit, dia tetap kuatkan hati untuk bangun semula meneruskan impiannya menjadi usahawan. Wanita muda ini yakin, jika ada kesungguhan dan kemahuan, pasti akan ada kejayaan.

Sedang rancak membuka langkah sebagai usahawan muruku dan 15 produk makanan tradisional lain, sekali lagi ujian berat diharungi apabila bengkelnya di Taman Sri Chendong, Maran ditenggelami air akibat banjir besar pada 2014 menyebabkan kerugian lebih RM30,000.

Minat mendalam terhadap perniagaan membolehkan dia bangkit selepas kecundang hingga menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit yang dianggap bukan rezekinya ketika itu.

Namun, kini selepas lapan tahun bergelar usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Siti Nora Mohamad Noor, 37, mampu berbangga apabila muruku dengan perasa BBQ dan lada hitam kini menembusi pasaran China, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Indonesia.

Katanya, dia bersyukur selepas mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan perniagaan makanan ringan dengan jenama Yama yang diusahakan kini mula terkenal dan diterima masyarakat tempatan serta luar negara.

“Selain muruku, saya turut menghasilkan produk lain seperti baulu, biskut tart, kuih bangkit, mufin dan pelbagai kuih tradisional serta moden untuk pasaran tempatan mengikut permintaan pengguna.

“Bagi memastikan pengguna terus menerima produk dihasilkan, saya sentiasa memberikan tumpuan kepada kualiti dan rasa tradisional perlu terus dikekalkan bagi memikat hati peminat kuih kampung.

“Rasa dan bentuk kuih sentiasa diberi keutamaan, faktor itu membolehkan pengguna membezakan produk saya dengan produk usahawan lain walaupun berada dalam bekas sama,” kata ibu kepada dua anak itu.

Siti Nora berkata, selain jualan runcit dia lebih menumpukan kepada pasaran borong bagi membantu usahawan kecil di bandar dan luar bandar menambah pendapatan keluarga dengan cara menjual produknya.

Bersama tenaga tiga pekerja, dia mampu menghasilkan antara 60 hingga 120 kilogram (kg) muruku iaitu kira-kira 500 bungkus sehari dalam pelbagai perasa selain 200 bungkus baulu saiz besar dan kecil.

Menurutnya, pengeluaran produk lain bergantung kepada permintaan.

Sebagai contoh 600 mufin dihasilkan sehari dan pengeluaran akan meningkat dua hingga empat kali ganda pada musim perayaan.

Sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang yang menyediakan latihan dan peluang pemasaran menambahkan kesungguhan dan semangatnya untuk terus berjaya dalam perniagaan.

“Sebuah gerai kecil (kios) yang dibuka di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) hentian Gambang, Kuantan merancakkan lagi aktiviti pemasaran produk saya. Tahun ini saya bercadang membuka dua kedai jualan di Kuantan dan Pekan.

“Bagi memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa yang terus bertambah saya juga bercadang membuka sebuah lagi bengkel,” katanya yang meraih Anugerah Usahawan Terbaik Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2008 dan Anugerah Usahawan Contoh Jabatan Pertanian 2015.

Siti Nora yang pernah menerima Anugerah Khas Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani (IAT) Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013 menerusi mesin muruku dihasilkan berkata, dia turut menyediakan kursus penyediaan produk makanan ringan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, FAMA Pahang antara agensi yang melantiknya sebagai tenaga pengajar kursus membuat kuih tradisional dan moden. Turut diajar dalam kursus itu adalah cara pemasaran dan penetapan harga jualan setiap produk.

“Saya berharap latihan yang diterima wanita termasuk ibu tunggal di luar bandar dapat menambahkan pendapatan mereka. Saya ingin melihat mereka berjaya seterusnya bebas daripada kemiskinan.

“Untuk berjaya mereka perlu melakukan dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat, tidak mudah berputus asa walaupun pernah gagal sebelum ini,” katanya yang pernah berniaga goreng pisang di tepi Jalan Maran-Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 2:01 PM