AINUN Liyana Ismail bersama kuih bulan mini yang dihasilkan bersama PPDK Semurni Qaseh. FOTO Mohd Rafi Mamat.
AINUN Liyana Ismail bersama kuih bulan mini yang dihasilkan bersama PPDK Semurni Qaseh. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


KUIH bulan mini yang mempunyai enam inti atau perasa dan berstatus halal, kini menjadi tarikan utama penggemar kuih tradisional masyarakat Cina terutama menjelang Tahun Baru Cina.

Kuih itu dihasilkan guru dibantu 12 pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Semurni Qaseh, Permatang Badak di Kuantan.

Pengerusi PPDK Semurni Qaseh Napsiah Ahmad berkata, pihaknya mengusahakan kuih bulan mini seberat 50 gram itu sejak tiga tahun lalu selepas mendapat permintaan menggalakkan pengguna.

Katanya, ada juga kuih yang dihasilkan mengikut saiz normal iaitu 100 gram.

“Antara perasa kuih bulan mini adalah, pandan, telur asin, kacang merah, teratai putih dan teratai putih kuaci.

“Untuk saiz mini, kami biasanya jual secara kombo (tiga biji) dengan perasa yang berbeza pada harga RM15 dan bagi saiz normal (100 gram) berharga RM10 hingga RM12 sebiji.

“Permintaan terhadapnya begitu menggalakkan apabila dalam tempuh dua minggu, lebih 1,000 biji sudah terjual, berbanding saiz normal kira-kira 400 biji.

“Permintaan bukan sahaja daripada masyarakat Cina yang akan menyambut perayaan tetapi orang Melayu dan India,” katanya yang juga pengajar kursus membuat kuih bulan.

Beliau yang juga bekas Penyelia Pendidikan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Paya Besar berkata, bagi di luar musim perayaan, kuih itu hanya dibuat sekiranya mendapat tempahan.

Menurutnya, hasil jualan kuih bulan dan produk lain digunakan untuk menampung perbelanjaan PPDK Semurni Qaseh, selain upah pelatih dan guru.

“Kami sedia menerima tempahan menghasilkan pelbagai kuih moden termasuk biskut, malah harga berpatutan menjadi kelebihan yang tidak mungkin disediakan pihak lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:31 AM