Mohd Amin Jalil


Pembabitannya dalam Kelab Usahawan RISDA atau RISDA Entrepreuners Club (RISEC) Negeri Sembilan menjadi pencetus kepada Norhasimah Hanafiah, 47, bergelar usahawan bakeri.

Daripada kelab itu dia mendapat peluang menimba ilmu dan bimbingan daripada usahawan lain mengenai dunia perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menyedari potensi besar menanti, Norhasimah nekad berhenti kerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur dan pulang ke kampungnya di Chembong Rembau, Negeri Sembilan pada 2012.

Semangat untuk bergelar usahawan dan memajukan diri mendorongnya menamatkan perkhidmatan sebagai pegawai pemasaran untuk memulakan perniagaan menerusi syarikat Noha Bakery.

Menurut Norhasimah, pada mulanya dia mengeluarkan produk kuih bangkit, roti dan makanan tradisional sejuk beku seperti karipap dengan menyewa sebuah kedai di pekan Rembau.

“Berikutan sambutan menggalakkan, saya menambah beberapa produk baru termasuk pelbagai jenis kek, biskut kelapa dan biskut bulat selain kuih tat dan semperit.

“Sambutan itu membakar semangat saya terus berusaha bagi memajukan perniagaan ini, malah turut mendapat sokongan dan bantuan daripada RISDA yang menyumbang beberapa peralatan memasak dan mesin memproses kek,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, tindakan Jabatan Pertanian Daerah Rembau (JPDR) menawarkan bengkel industri di Batu Hampar, Rembau bagai pucuk dicita ulam mendatang apabila bangunan itu dijadikan pusat utama memproses produk bermula 2014.

Menurutnya, pada peringkat awal dia hanya mampu mengeluarkan 150 pek produk seminggu, tetapi kini sudah mencecah 1,000 hingga 1,500 pek atau 5,000 pek sebulan.

“Sebelum ini, kos sewa bangunan kedai agak tinggi dan memberi kesan kepada keuntungan, tapi selepas Jabatan Pertanian menawarkan bengkel ini, ia dapat mengurangkan banyak kos, sekali gus meringankan beban operasi.

“Malah, pemindahan ke tempat baru ini banyak membantu melancarkan pengeluaran selain memudahkan urusan pemasaran,” katanya.

Katanya, semua produk keluarannya dipasarkan di sekitar Rembau dan Seremban termasuk di kedai runcit, kantin sekolah, restoran serta menerusi rangkaian pemasaran dalam talian dan beberapa ejen jualan.

Dibantu dua pekerja tetap, dia terus mengorak langkah memajukan perniagaan itu dan kini meluaskan pasaran termasuk ke Johor Bahru dan Singapura.

“Setakat ini produk saya terutama kuih bangkit dan tat mendapat permintaan di negeri selatan tanah air, malah setiap kali musim perayaan, tawarannya meningkat dua kali ganda.

“Bagaimanapun, saya berdepan sedikit kekangan untuk mengeluarkan produk dengan banyak kerana kekurangan peralatan memasak,” katanya yang mengeluarkan modal awal RM10,000.

Norhasimah berusaha meningkatkan kemudahan peralatan itu bagi menampung permintaan pelanggan.

“Jika semua berjalan dengan baik, saya yakin dapat meningkatkan pengeluaran produk sebelum akhir tahun ini.

“Saya juga berhasrat memasuki pasar raya, namun perlu meningkatkan kualiti pembungkusan seperti ditetapkan.

“Selain itu, saya juga mengikuti pelbagai kursus makanan dan pengurusan perniagaan anjuran RISDA, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang jelas dapat membantu memperkukuhkan perniagaan diusahakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 6:08 AM