PENG SOON (kanan) yakin skuad negara tiada masalah bawa pulang emas acara berpasukan campuran. -Foto fail
PENG SOON (kanan) yakin skuad negara tiada masalah bawa pulang emas acara berpasukan campuran. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN badminton beregu campuran negara, Chan Peng Soon mengakui pemilihan pemain ke Sukan Komanwel, Gold Coast 2018 bakal membentuk satu pasukan mantap dan tidak mempunyai masalah untuk meraih emas dalam acara berpasukan campuran.

Selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat pengumuman senarai pemain ke temasya berkenaan, Peng Soon cukup yakin barisan pemain yang dipilih itu adalah satu pasukan mantap terutama dengan kehadiran pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei.

“Skuad kali ini juga membariskan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan saya bersama Goh Liu Ying. Kita juga mempunyai pemain simpanan mantap, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing,” katanya yang akan memulakan kempen musim ini di Masters Thailand, minggu depan.

Jelasnya, pemilihan perseorangan wanita, Goh Jin Wei juga tidak boleh disangkal lagi walaupun pemain itu baru berusia 18 tahun.

“Secara keseluruhan, kita mempunyai kekuatan seimbang. Jadi, semua pemain yang terpilih mempunyai tanggungjawab masing-masing teruatam dalam usaha meraih pingat emas.

“Buat masa sekarang, fokus utama kita adalah dalam acara berpasukan campuran terlebih dulu, kerana ia adalah acara pertama yang perlu kami hadapi,” katanya.

Khamis lalu, ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meletakkan sasaran acara badminton mampu mengulangi pencapaian di Glasgow dengan meraih emas di temasya kali ini.

Turut akan beraksi di temasya di Australia itu ialah gandingan utama beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang juga penyandang pingat emas Sukan Komanwel.

Sementara itu, Peng Soon mengakui gandingannya bersama Liu Ying semakin mantap terutama menjelang kejohanan sulung mereka minggu depan.

“Setakat ini Liu Ying sudah 80 hingga 90 peratus cergas dan dia beraksi dengan sangat baik di dalam latihan. Saya rasa tiada masalah buat kami bergandingan semula selepas hampir setengah tahun tidak beraksi bersama.

“Kombinasi saya dengan Liu Ying masih lagi mantap kerana kami sudah berpasangan hampir sembilan tahun,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 7:28 PM