V SHEM dan Wee Kiong.
V SHEM dan Wee Kiong.
ISKANDAR
ISKANDAR
Datuk Seri Jalani Sidek

Sekitar dua minggu lalu kita dihidangkan dengan aksi barisan pemain dunia di kejohanan berstatus Siri Super Terbuka Jepun dan Korea.

Dua kejohanan itu antara pertandingan terawal selepas barisan pemain terbaik dunia beraksi di temasya Sukan Olimpik di Rio, Brazil.

Secara peribadi, saya memang menantikan aksi pemenang pingat perak di Sukan Olimpik iaitu gandingan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan sudah tentu jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Harapan saya adalah mahu menyaksikan aksi cemerlang di Rio dapat diteruskan di kejohanan.

Kecuali Chong Wei yang kita semua ketahui kekal konsisten apabila muncul juara Terbuka Jepun sebelum menarik diri daripada Terbuka Korea, dua beregu negara gagal menjadi juara.

Peng Soon-Liu Ying terkandas pada separuh akhir di kedua-dua kejohanan itu manakala V Shem-Wee Kiong tersingkir di pusingan kedua Terbuka Jepun sebelum memperbaiki prestasi tetapi akhirnya tewas juga di separuh akhir Terbuka Korea Selatan.

Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah berkenaan aksi konsisten. Ya, meskipun Peng Soon-Liu Ying serta V Shem-Wee Kiong bergelar pemenang perak Olimpik, mereka masih mempunyai kekurangan berbanding Chong Wei yang kekal konsisten.

Selayaknya untuk pemain seperti kedua-dua beregu negara ini, mereka tidak boleh lagi mempunyai sasaran untuk pergi ke satu-satu kejohanan itu dengan sasaran ‘akan lakukan yang terbaik.’

Untuk tahap kedua-dua beregu ini, mereka seharusnya mempunyai sasaran tinggi dan mentaliti pejuang yang sentiasa mahukan kemenangan seperti dibuktikan Chong Wei sejak sekian lama.

Pemain berstatus sederhana seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga perlu mengubah mentaliti kepada ingin menang, menang dan menang pada setiap perlawanan diharungi.

Iskandar agak mengecewakan juga apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun sebelum turut kecundang pada pusingan kedua Terbuka Korea.

Mengapa Chong Wei masih kekal konsisten sedangkan yang lain tidak? Itulah elemen yang perlu diteliti pemain negara.

Chong Wei amat jelas dengan matlamatnya iaitu mahu muncul juara dan selepas memenangi Terbuka Jepun, dia menarik diri daripada Terbuka Korea.

Apa yang dipelajari daripada Chong Wei adalah sekiranya anda tidak bersedia untuk turun di sesuatu kejohanan dengan mentaliti untuk muncul juara, lebih elok untuk menarik diri. Ruang perlu diberikan kepada setiap pemain dalam membuat keputusan sama ada bersedia untuk pergi ke satu-satu kejohanan atau menarik diri seperti dilakukan Chong Wei.

Yang penting adalah bermula daripada sekarang, mereka perlu mempunyai mentaliti juara, juara dan juara kerana anda adalah berkelas Olimpik!

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:08 AM