YUSOF (duduk tiga dari kiri) bersama sukarelawan dan penerima sumbangan.
YUSOF (duduk tiga dari kiri) bersama sukarelawan dan penerima sumbangan.

Bersempena cuti persekolahan penggal akhir tahun ini, Yayasan Prihatin Insan (YPI) dengan kerjasama Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) Gombak/Petaling menganjurkan Program Tautan Kasih ‘Back to School’.

Program berkenaan dilaksanakan bertujuan menyediakan keperluan persekolahan bagi anak Orang Asli di Gombak.

Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dan Wilayah Persekutuan Md Yusof Abu Naib berkata, pihaknya menyambut baik program bantuan yang dilaksanakan YPI.

“Kami menyambut baik dan sentiasa menggalakkan usaha sama daripada NGO dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup ke arah kemajuan tanpa menyisihkan warisan unggul masyarakat Orang Asli.

“Kesedaran pendidikan awal kanak-kanak dan peningkatan kecemerlangan Orang Asli di IPTA antara elemen penting bagi melahirkan modal insan yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat di sini,” katanya.

Majlis perasmian yang diadakan pada awal bulan ini di Dewan Serbaguna JAKOA Selangor itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi YPI Dr Muhamad Azrin Omar.

Program ini juga disusun dengan memberi peluang kepada masyarakat untuk turut sama menyumbang kepada golongan yang memerlukan. Program tahunan yayasan berkenaan pertama kalinya memilih masyarakat Orang Asli sebagai sasaran kumpulan penerima sumbangan.

Setiap murid diberikan beg sekolah, sepasang pakaian seragam, sut balapan (seluar sukan), stoking, kasut, kapur kasut, botol air dan set lengkap alat tulis.

Semua sumbangan yang dihulurkan adalah hasil pemberian orang ramai. Seramai 30 anak Orang Asli yang dipilih daripada keluarga fakir dan miskin diraikan dalam majlis berkenaan.

Pada tahun lalu, Jalinan Kasih ‘Back to School’ diadakan dengan kerjasama Bank Rakyat sebagai penaja utama. Kerjasama strategik dengan CSR badan Korporat dan agensi kerajaan sangat dialu-alukan bagi memperluaskan lagi aktiviti kebajikan serta kemanusiaan.

Yayasan berkenaan sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Prihatin Titiwangsa (YPT) ditubuhkan bagi membantu golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan golongan fakir miskin tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Bertemakan slogan ‘Anda Memberi Kami Menyampaikan’, YPI komited melaksanakan program dan aktiviti merangkumi aspek kebajikan, pendidikan serta misi bantuan kemanusiaan.

Setiap aktiviti dan program kebajikan anjuran yayasan berkenaan sentiasa dikemaskini dan dilaporkan menerusi laman Facebook, ttps://www.facebook.com/yayasanprihatininsan.

Sumbangan orang ramai yang diterima akan disalurkan terus melalui program yayasan yang berorientasikan kebajikan, pendidikan atau misi bantuan kemanusiaan seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan bencana alam yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 5:37 AM